malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti S'gor: Pungut zakat melalui Shopee sah di sisi syarak
Diterbitkan:  Dec 25, 2020 10:41 PM
Dikemaskini: 2:54 PM
ADS

Mufti Selangor Mohd Tamyes Abdul Wahid  hari ini memaklumkan pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah di sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak.

Jelasnya, Shopee bukan dilantik sebagai amil tetapi hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya petik laporan Selangorkini.

Menurut Mohd Tamyes, bayaran zakat melalui Shopee tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

Bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad, jelasnya lagi.

Ini selepas Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mempersoal tindakan pusat zakat melantik penyedia sistem e-dagang, Shopee bagi memungut zakat umat Islam.


BACA BERKAITAN: Aswaja persoal alasan lantik Shopee jadi platform kutip zakat


Presidennya, Zamihan Mat Zin (gambar, bawah) semalam mempertikaikan peranan sebenar portal e-dagang itu di sebalik proses memungut zakat berkenaan.

Jelasnya, ulama telah sepakat bahawa syarat amil atau ejen kutipan zakat mestilah daripada kalangan orang Islam.

Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat mulai 18 Disember

Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak juga melakukan hal yang sama.

PPZ-MAIWP dalam kenyataannya sebelum ini berkata, melalui platform itu, umat Islam boleh membuat bayaran pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak serta zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pembayaran zakat di platform itu boleh dilakukan menerusi dompet mudah alih ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.

Lihat Komen