malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh penarik kereta: Polis cekup 10 ahli kongsi gelap
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 11:38 PM
Dikemaskini: 3:38 PM
ADS

Polis menahan 10 lelaki warga tempatan yang disyaki ahli kongsi gelap '5 Colour' di Bakri, Muar hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kes bunuh penarik kereta yang ditemukan mati pada Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek yang berumur lingkungan 17 hingga 31 tahun ditahan pada kira-kira 12.05 tengah hari dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota pasukan khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Johor.

“Mereka ini dipercayai daripada geng kongsi gelap 5 Colour yang terlibat dalam kejadian bunuh tersebut. Ia merupakan hasil pendedahan dua individu dalam tangkapan awal yang dibuat di tempat kejadian pada 20 Dis lepa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ayob berkata siasatan mendapati motif kes itu adalah berkaitan isu tidak puas hati dengan pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada bank.

“Kesemua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah lain,” katanya.

Beliau berkata tangkapan itu menjadikan jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap 5 Colour yang telah dicekup ialah 12 orang.

Katanya, polis johor kini mengesan beberapa lagi rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

Ayob berkata polis akan mengemukakan permohonan untuk menahan reman mereka mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Beliau juga menasihati pihak yang terlibat supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan pembelian kenderaan murah yang lari daripada pembayaran bank kerana kebiasaannya, pihak tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti mendapatkan perlindungan daripada ahli kongsi gelap," katanya.

- Bernama

Lihat Komen