malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gabungan besar: Siapa jadi ketua pembangkang, soal AMK Johor
Diterbitkan:  Dec 18, 2020 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM
ADS

Siapakah yang akan mengetuai barisan pembangkang dalam parlimen merupakan antara soalan dibangkitkan oleh Pemuda PKR (AMK) Johor berhubung spekulasi yang mengatakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH)  bercadang mahu bekerjasama dalam penubuhan gabungan besar pembangkang.

Dalam kenyataan media hari ini, Ketua AMK Johor R Yuneswaran turut menekan bahawa majlis pimpinan PH perlu bersidang secepat mungkin untuk menyusun semula strategi dan menyatukan kekuatan bagi membuat persediaan awal menjelang pilihan raya umum.

"Setiap pandangan dan idea harus diraikan.

"Namun, PH perlu ada satu mekanisme yang jelas untuk membentuk satu gabungan besar. Ada beberapa perkara harus diteliti dan dipersetujui oleh gabungan baharu sebelum ia ditubuhkan.

"Siapakah yang akan mengetuai barisan pembangkang dalam parlimen jika mahu bekerjasama dalam penubuhan grand coalition (gabungan besar).

"Masihkah Anwar Ibrahim akan dikekalkan sebagai ketua pembangkang?" soalnya.

Dia berkata demikian ekoran kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan pembaharuan semula kerjasama politik di kalangan pembangkang selepas gabungan PH gagal menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Mohamad dan Lim dalam kenyataan bersama sebelum ini menegaskan bahawa masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk mengerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, anti rasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

Bagaimanapun, Yuneswaran berpendapat bahawa cadangan gabungan besar merupakan idea yang harus dinilai dari dua sisi.

"Sama ada ia memberi manfaat kepada gabungan pembangkang, atau tak mustahil, akan menambah kerumitan kepada gabungan PH jika ianya tidak diperhalusi dengan teliti.

"Selaku presiden PKR dan ketua pembangkang, Anwar telah melakukan usaha yang baik untuk mengembalikan mandat rakyat.

"Kesalahan atas kegagalan usaha untuk mengembalikan mandat rakyat melalui sidang parlimen tidak harus diletakkan di atas bahu Anwar," katanya.

Dia turut mempersoalkan adakah semua parti-parti pembangkang termasuk DAP, Amanah Warisan, Parti Bersatu Sarawak (PBS), Upko, Parti Muda dan Ahli Parlimen Bebas setuju dengan sebulat suara untuk Anwar diangkat sebagai calon perdana menteri.

"Kegagalan Dr Mahathir untuk mempertahankan kerajaan PH telah memberi impak yang besar kepada negara dan PH sendiri," katanya.

Untuk rekod, PH kini mempunyai 91 ahli parlimen. Sementara, Warisan (8), Pejuang (4), PBS (2), Upko (1), Muda (1) dan seorang Bebas menjadikan jumlahnya 108 berbanding Kerajaan Perikatan Nasional yang mempunyai 113 wakil rakyat.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen