BERITA

KATA MP | PKP: Ke mana kita?

Syed Ibrahim Syed Noh

18 Dec 2020, 4:27 am

Dikemaskini 3 bulan lepas

A
+
A
-

Sudah hampir 300 hari semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan. Pada 18 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah perintah untuk mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 

Melalui PKP ini, Malaysia pernah mencatat sifar kes tempatan baru untuk beberapa hari. Selepas hampir empat bulan PKP dikuatkuasakan dengan beberapa siri lanjutan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia menyaksikan kadar kes harian berkurang kepada dua digit, malahan turun kepada satu digit.

Negara-negara yang turut mengamalkan konsep kawalan pergerakan seperti kebanyakan negara di Eropah juga merekodkan penurunan kadar jangkitan Covid-19. Keberkesanan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan di New Zealand telah membuahkan kejayaan sifar kes Covid-19 untuk tempoh hampir sebulan seawal bulan Jun! 

Ada bukit, ada paya 

Namun, harus diingat PKP ini juga membawa impak yang besar kepada sektor ekonomi. Pergerakan rakyat, waktu bekerja dan jumlah tenaga kerja yang terhad menjadi antara faktor Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi. kemelesetan ini bukan sekadar menjejaskan ekonomi negara, bahkan menyerang serta melumpuhkan struktur ekonomi individu.

Tambahan lagi, akibat kekangan yang dihadapi oleh semua sektor dan perusahaan, kes pengangguran menjadi kebimbangan. Jumlah penganggur meningkat sehingga mencecah 800,000 orang. Lebih separuh daripada angka ini adalah penganggur aktif atau mereka yang tidak bekerja tetapi bersedia untuk bekerja.

Maka, fakta-fakta ini menunjukkan PKP yang dikuatkuasakan ini adalah sebuah langkah yang berkesan untuk membendung penularan wabak namun membawa impak kepada pergerakan ekonomi. Bak kata peribahasa; ada bukit, ada paya. Ada baik, ada buruknya.

Menteri Kesihatan Adham Baba

Dalam konteks ini, saya telah membangkitkan persoalan dalam dewan rakyat berkenaan pendirian kerajaan untuk menangani penularan wabak Covid-19 antara pergerakan bebas rakyat, kenaikan kadar semasa kes Covid-19 dan pembukaan ekonomi. Menteri menjawab, proses penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) dan risiko dilaksanakan dengan menyeluruh dan sepadu. Namun ini tidak menjawab persoalan saya di atas. Yang lebih penting ialah penilaian menyeluruh terhadap strategi menangani fasa baharu pengurusan dan pengawalan wabak Covid-19 dalam suasana keterbukaan, keselamatan nyawa dan pembangunan ekonomi negara.

Mengeliru dan menyukarkan

Sungguhpun begitu, panduan SOP PKP yang ditetapkan oleh kerajaan menjadi isu besar yang kerap berbangkit. SOP yang ditetapkan tidak sesuai dan sukar untuk diamalkan.

Sebagai contoh, penetapan SOP hanya dua orang dalam satu kenderaan dilihat tidak sesuai malah menyukarkan banyak pihak. Persoalan timbul apabila SOP ini mengesani ibu bapa yang baru pulang dari tempat kerja dalam sebuah kenderaan termasuk anak yang baru diambil dari pusat jagaan. Selepas bantahan daripada pelbagai pihak, akhirnya kerajaan menarik balik penguatkuasaan SOP ini dan membenarkan SOP tiga orang dalam satu kenderaan.

Begitu juga dengan penetapan SOP aktiviti ibadah di masjid yang mengelirukan. Meskipun urusan agama tertakluk di bawah bidang kuasa negeri, kerajaan gagal memainkan peranan mengurus perbezaan SOP aktiviti ibadah mengikut negeri sehingga ia menyukarkan pihak jemaah dan pengurusan masjid. Sebagai contoh, seorang lelaki yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di Selangor, boleh memilih untuk menunaikan solat Jumaat dalam kawasan kejiranan Kuala Lumpur yang membenarkan aktiviti solat Jumaat dan SOP yang lebih longgar.

‘Atas nasihat KKM’

Seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan, penguatkuasaan panduan SOP PKP oleh MKN ditetapkan berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerajaan mendakwa SOP ini dirangka dengan mengambil kira risiko penyebaran wabak tidak terkawal di atas nasihat dan panduan daripada KKM.

Namun, penyataan "Atas nasihat KKM" ini dilihat seperti disalah guna dalam menetapkan SOP yang mengelirukan, tidak konsisten, menyukarkan satu pihak dan menguntungkan pihak yang lain.

Hal ini juga telah mewujudkan dwistandard dalam isu pematuhan SOP. Banyak contoh kes yang menunjukkan seperti wujud golongan yang tidak lut dek hukuman mengingkari SOP PKP. Rakyat kebanyakan dikompaun dengan denda yang tinggi atas kesalahan-kesalahan kecil melanggar SOP, tetapi ahli politik atau menteri-menteri hanya didenda dengan kompaun kecil malah ada yang terlepas daripada hukuman.

Bergerak ke hadapan

Saya berpendapat bahawa kerajaan, dalam hal ini harus menilai semula SOP PKP agar lebih efektif dan tuntas. Lebih khusus, MKN yang bersifat merentasi dan merangkumi sektor dan kementerian harus memastikan agar SOP PKP ini berperanan mengekang bukan mengongkong dan menyelesaikan bukan mengelirukan.

Justeru, saya ingin mengemukakan beberapa saranan untuk kerajaan laksanakan dalam bergerak ke hadapan.

Pertama, MKN wajar memperkasakan kementerian-kementerian yang terlibat supaya boleh menyesuaikan SOP ini dengan keadaan dan keperluan. Maklum balas serta cadangan daripada kementerian dan sektor yang terkesan harus diberi perhatian oleh MKN agar mencapai maksud sebenar perintah ini dan mengurangkan impak buruk yang mungkin berlaku.

Dalam pada itu, kementerian-kementerian wajib giat memainkan peranan sebagai orang tengah antara masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan MKN. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Malaysia selaku organ kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pendidikan sepatutnya memandu MKN dalam menetapkan SOP dan arahan yang jelas, tersusun dan konsisten terkait institusi pendidikan.

Tambahan lagi, para guru juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan SOP bagi institusi pendidikan dek kekangan melaksanakan sesi pembelajaran. Ada guru yang mencadangkan agar sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) diteruskan dengan menggunapakai SOP penggiliran sesi kelas serta mengutamakan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar.

Kedua, saya ingin mencadangkan pihak KKM memperkasakan sistem ujian saringan Covid-19 dan pengesanan kontak jangkitan Covid-19.

Sebagai contoh, inisiatif ujian saringan besar-besaran dan ujian pandu-lalu oleh Korea Selatan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan wabak Covid-19 dengan pantas. Mereka tidak perlu membuat sebarang lockdown. Seawal pertengahan Mac, mereka telah melaksanakan 270,000 ujian saringan Covid-19.

Korea Selatan, gambar hiasan

Selain itu, sistem pengesanan kontak jangkitan Covid-19 wajar diperkasakan agar lebih pantas dan efektif. Sehingga bulan November, menurut Menteri Kesihatan, hanya empat peratus kes yang dikesan menerusi aplikasi MySejahtera. Kadar ini menunjukkan kegagalan sistem ini bagi mengesan kontak jangkitan untuk mencegah jangkitan dengan segera.

Malah, menurut Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat kes positif Covid-19 yang dikesan tetapi tidak diambil ke pusat kuarantin sehingga beberapa hari.

Ketiga, KKM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi wajar mengambil langkah proaktif menggunakan sains dan data dalam penentuan bagi SOP PKP. Ini akan membantu MKN mengeluarkan panduan yang lebih efektif, tersusun dan bersesuaian mengikut kumpulan sasaran.

Seperti yang diamalkan oleh Korea Selatan, teknologi dan data saintifik dimanfaatkan dalam mengelak penularan wabak Covid-19. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan bertanggungjawab mengumpul dan menyampaikan maklumat berkenaan pesakit Covid-19 seperti lokasi orang yang dijangkiti dan status kesihatan mereka. Maklumat ini akan dikemas kini dalam masa sebenar dan dimaklumkan kepada orang awam.

Keempat, KKM wajib memperkasakan sistem kesihatan awam agar lebih kemas dan ampuh. Saya percaya sistem kesihatan awam yang efektif akan memudahkan banyak perkara terutamanya membantu para pejuang barisan hadapan untuk berkhidmat dalam persekitaran yang lebih baik.

Tambahan lagi, sistem kesihatan awam yang lebih kukuh akan memberi kemudahan kepada rakyat. Aspek aktiviti ujian saringan, kuarantin di pusat kuarantin dan rawatan pesakit kritikal yang melibatkan pejuang barisan hadapan serta orang awam harus dikukuhkan melalui peruntukan yang besar, sumber yang bersesuaian dan kemudahan yang mencukupi.

Akhirnya, sudah hampir setahun dunia diuji dengan serangan wabak Covid-19. Langkah pencegahan kendiri sudah menjadi norma baru. Para pejuang barisan hadapan semakin mahir dan tersusun.

Namun, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tanggungjawab memastikan kementerian-kementerian dan agensi-agensi memantapkan disiplin serta bekerja lebih gigih. Fasa pemulihan bagi ekonomi ini menuntut peranan kerajaan yang luar biasa efektif, demi kebaikan seluruh rakyat dan negara.

Peranan kerajaan ini juga penting supaya usaha pencegahan kendiri oleh rakyat dan jerih perih pejuang barisan hadapan tidak sia-sia.

Kepada pemimpin-pemimpin di atas, beringatlah, rantau jauh diulangi, rantau dekad dikendana!


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah ahli parlimen Ledang.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen