malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: LRT3 mungkin lambat siap kerana perselisihan Prasarana, kontraktor utama
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM
ADS

Projek Laluan Transit Ringan 3 (LRT3) mungkin berdepan kelewatan kerana pemilik projek, Prasarana Malaysia Bhd, didakwa mengganggu pelantikan subkontraktor untuk projek tersebut yang dibuat oleh kontraktor utamanya MRCB-George Kent Sdn Bhd.

The Malaysian Reserve, memetik sumber mengatakan bahawa kontraktor utama projek itu tidak bersetuju dengan tuntutan Prasarana untuk lebih banyak terlibat dan ia telah menyebabkan MRCB-George Kent "menyukarkan" pembayaran oleh Prasarana.

Sumber itu mengatakan bahawa seorang individu berpangkat tinggi di Prasarana meminta agar MRCB-George Kent memberikan pakej kerja dengan jumlah yang besar kepada syarikat tertentu.

Sumber mendakwa, syarikat itu mempunyai kaitan politik dengan penjawat kanan di Prasarana, sehingga menimbulkan masalah konflik kepentingan bagi pengendali pengangkutan awam bandar itu.

Sumber itu enggan menamakan mana-mana individu atau syarikat yang terlibat tetapi menyatakan bahawa masalah tersebut telah menyebabkan "pertembungan besar" di antara pengurusan Prasarana yang menyebabkan presiden dan CEO kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias ​​"cuti sementara" pada bulan lalu.

"Pakej ini melibatkan kerja bernilai sekitar RM300 juta, yang mana MRCB-George Kent sudah mempunyai kontraktornya untuk diusahakan, tetapi ada gangguan dari Prasarana yang meminta kontraktor diberikan kepada syarikat lain, yang mana adalah tidak wajar, kerana MRCB-George Kent dilantik sebagai kontraktor utama," kata sumber.

Sumber itu mengatakan bahawa ini bermaksud bahawa Prasarana tidak boleh menentukan kontraktor yang dilantik MRCB-George Kent, dan oleh kerana itu, ia telah menunda pembayaran kepada MRCB-George Kent berjumlah ratusan juta ringgit.

MRCB-George Kent adalah usaha sama Malaysian Resources Corp Bhd dan George Kent (M) Bhd.

Projek LRT3 dimulakan pada bulan Ogos 2015 dengan anggaran awal RM10 bilion untuk memberi kemudahan kira-kira dua juta orang di sepanjang laluan Bandar Utama-Johan Setia, sebelum kos meningkat menjadi RM31.65 bilion.

Projek itu adalah antara beberapa projek infrastruktur mega yang dikaji oleh kerajaan pusat setelah Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.

Pada 19 Jul 2020, Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan bahawa kerja pembinaan LRT3 akan siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024.

Dia menambah bahawa pada 30 Jun, 33 peratus projek telah disiapkan. Projek ini merangkumi 37.8km, menghubungkan penduduk di koridor barat Lembah Klang dengan Kuala Lumpur.

Sebelumnya juga dilaporkan bahawa MRCB-George Kent menyasarkan untuk menyelesaikan lebih dari 40 peratus projek itu pada akhir tahun ini, tetapi sumber itu menunjukkan bahawa sasaran itu mungkin sukar dicapai kerana penangguhan pembayaran.

LRT3 diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih daripada dua juta orang di daerah-daerah ini dan mengendalikan sekitar 67,000 penumpang setiap hari sebelum sistem kereta api bandar Lembah Klang yang lebih besar siap.

Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur-Klang, LRT3 yang bergabung dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie juga diharapkan dapat menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen