malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu mesej Akmal 'perkecil' Anwar: AMK seru rapatkan saf
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 10:20 PM
Dikemaskini: 2:33 PM
ADS

Pimpinan Pemuda PKR negeri menggesa penyelesaian segera isu kebocoran komunikasi melibatkan mesej Ketua AMK Akmal Nasir yang 'memperkecilkan' presiden parti Anwar Ibrahim.

"Kami menyeru agar semua kepimpinan dan anggota AMK Malaysia di semua peringkat supaya bertenang dan berlaku adil serta memberikan ruang sewajarnya kepada kepimpinan untuk menjernihkan keadaan.

"Kami juga menolak sebarang agenda yang cuba menangguk di air keruh untuk melaga-lagakan anggota mahupun kepimpinan serta mengecam perbuatan membocorkan perbincangan tertutup sehingga mencetuskan suasana tidak menentu dalam parti," kata mereka.

Kenyataan bersama itu ditandatangani ketua AMK untuk 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam komunikasi yang dibocorkan itu, Akmal, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, dilihat mengkritik langkah presiden PKR, termasuk mendakwa Anwar memberi "lampu hijau" agar PKR bertengkar secara terbuka semasa kongres tahun lalu.

Mesej-mesej itu juga menunjukkan Akmal berkata dirinya bersama dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan MP Subang, Wong Chen, bersedia untuk menghentikan Anwar daripada membuat pengumuman pada bulan September lalu.

Ketika itu, Anwar mendakwa dia telah memperoleh majoriti "sokongan yang kukuh" daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru, sesuatu yang belum dapat menjadi kenyataan sehingga kini.

Tidak jelas siapa yang membocorkan mesej Akmal itu. Tetapi komunikasi berkenaan telah diedarkan di media sosial, mendakwa ketua AMK tersebut sebagai pengkhianat dan mendesak Akmal mengundurkan diri daripada kepimpinan PKR.

Ini mendorong bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli, yang telah bersara daripada politik untuk kembali bersuara, memberi peringatan kepada Anwar supaya tidak memikul 'biawak hidup' dan membiarkan "opurtunis" mengelilingi dirinya.

Rafizi mempertahankan ketua AMK itu berkata kritikan Akmal mempunyai asas. Akmal dilihat sebagai hasil didikan Rafizi ketika dia aktif memimpin PKR.

Ketua-ketua Pemuda PKR, dalam kenyataan mereka malam ini, berkata AMK komited untuk menyokong kepimpinan Anwar membina Malaysia yang lebih baik.

"Tiada asas kukuh untuk mempertikaikan kesetiaan kepimpinan AMK Malaysia terhadap pucuk pimpinan parti setelah kesetiaan ini dibuktikan menerusi komitmen AMK mempertahankan prinsip dan idealisme daripada agenda pengkhianatan yang lalu.

"Kami menyeru agar seluruh anggota AMK merapatkan saf dan mengukuhkan gerak kerja agar AMK tampil menjadi sayap terkuat parti dalam menjayakan agenda reformasi," kata mereka lagi.

Lihat Komen