malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: Tiada jaminan P Pinang dapat air percuma selama-lamanya
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 3:22 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata Akta Kedah dan Pulau Pinang (pengubahan sempadan) bukan jaminan bekalan air mentah akan diberikan secara percuma selama-lamanya kepada Pulau Pinang.

Sanusi berkata perjanjian pada 1985 itu hanya menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di negeri Kedah, justeru kerajaan negeri berhak menuntut caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang.

"Jaminan hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya.

"Tiada sesiapapun yang dapat menafikan bahawa sumber air yang mengalir dalam Sungai Muda bermula di ‘hulu’ Sungai Muda, iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, negeri Kedah Darul Aman.

"Sumber air tersebut berasal dari kawasan tadahan air yang memerlukan pengekalan dan kelestarian kawasan tersebut untuk menjamin bekalan air yang mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurutnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air mereka dari Sungai Muda setiap hari iaitu 1,100 juta liter sehari (mld).

CODE:

Jawapan Kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.

"Kenaan caj yang sama patut dikenakan kepada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal dari Sungai Muda, walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang tetapi sumber asal air tersebut adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda," jelasnya.

Kata Sanusi, Perjanjian 1985 itu perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air semakin meningkat di samping keperluan kepada pembangunan dan pengekalan kelestarian alam semulajadi.

"Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah. 

"Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat," katanya.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan Pulau Pinang tidak akan membayar caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah.

"Kita telah memberikan jawapan tidak akan membayar caj tersebut memandangkan Pulau Pinang menggunakan hak antarabangsa iaitu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri Pulau Pinang sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.

"Kita tidak akan bayar sebab kita mengambil air dari Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang sejajar dengan hak antarabangsa tentang air dan undang-undang negara," katanya. 

'Tak wajar Pulau Pinang nikmati keuntungan percuma'

Mengulas lanjut Sanusi berkata Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA 2006) atau Akta 655 yang diluluskan di Parlimen telah membawa reformasi besar-besaran dalam bidang pengurusan dan pembiayaan bekalan air di seluruh negara.

"Dari perspektif keadilan sosial, pihak PBAPP perlu bersama-sama bertanggung-jawab memastikan sumbangan kepada rakyat benar-benar dapat disumbangkan daripada sumber yang betul dan bertindak adil kepada agensi-agensi pemberi perkhidmatan kepada rakyat. 

"Dengan demikian, PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air dari sumber air mentah negeri Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama bagi rakyat di kedua-dua negeri.

"Adalah tidak wajar Kedah perlu korbankan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma," katanya.

Lihat Komen