Dua lagi kluster baru Covid-19 dikesan dalam negara melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama yakni Kluster Seruling, melibatkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling di Selangor, dengan kes awal dikesan positif Covid-19 pada 4 Dis hasil saringan individu bergejala di tempat kerja.
"Sehingga hari ini, sejumlah 2,267 individu telah disaring, daripada jumlah itu 109 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.
Kluster kedua, Kluster Tapak Bina Darul pula melibatkan daerah Titiwangsa, Cheras dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur; daerah Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang di Selangor; serta daerah Seremban di Negeri Sembilan.
Beliau berkata kes awal dikesan positif Covid-19 kluster itu ialah pada 6 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak pembinaan.
"Sehingga hari ini sejumlah 240 individu telah disaring, dan daripada jumlah itu 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 392 kluster dilaporkan termasuk dua kluster baru hari ini.
"Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 207 kluster termasuk empat kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Melati, Kluster Kempas, Kluster Titir dan Kluster Tempayan.
"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 185 kluster dan daripada jumlah itu, 41 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini. Kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah Kluster Teratai sebanyak 78 kes, Kluster Batu Tujuh (52) dan Kluster Ria-30 (33)," katanya.
- Bernama

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.