malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Belanjawan kementerian pelancongan lulus, undian 109-96
ADS

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Di kala kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikatakan menerima tempias daripada krisis politik di Perak, kerajaan sekali lagi berjaya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa melalui undi belah bahagi.

Dewan Rakyat meluluskan peruntukan untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui undi belah bahagi hari ini, dengan 109 ahli parlimen mengundi meluluskan belanjawan kementerian tersebut, 96 mengundi tidak menyokong, manakala 15 lagi ahli parlimen tidak hadir.

Ini merupakan belanjawan ke-15 yang diluluskan setakat ini, baik menerusi undian suara atau pun undian belah bahagi. 

Sebelum itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri menggulung selepas perbahasan terhadap peruntukan berjumlah lebih RM1.140 bilion untuk kementerian itu.

Selepas itu, Dewan Rakyat meluluskan dua lagi peruntukan kementerian melalui undian suara - lebih RM2.584 bilion untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan lebih RM3.474 bilion untuk Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun sebelum itu berdepan soalan daripada wakil rakyat PH ketika sesi perbahasan, sebelum diasak kerana dikatakan memberikan jawapan tidak memuaskan dalam penggulungannya.

Sementara itu Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, antara lain, menyentuh berkenaan isu peruntukan terhadap bekalan air dan langkah pencegahan pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan, terutamanya di Selangor.

Ekoran arahan saat akhir ketua pembangkang Anwar Ibrahim agar undi belah bahagi RUU Perbekalan tidak diadakan semasa di peringkat dasar, menyebabkan ahli-ahli parlimen PH melakukan undi belah bahagi terhadap beberapa peruntukan kementerian di peringkat jawatankuasa ini.

Pada masa sama, usul undi percaya di DUN Perak telah menyebabkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tersingkir daripada jawatan menteri besar yang disandangnya.

Ia membangkitkan gesaan beberapa pihak terutama pembangkang, agar langkah serupa dapat dilakukan ke atas Muhyiddin dalam sidang Dewan Rakyat yang dijadual tamat 17 Dis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen