malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB Kedah: MIC patut diharamkan jika hasut orang langgar undang-undang
ADS

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkata walaupun MIC sebuah parti komponen BN, ia wajar diharamkan dan tidak dibenarkan bergerak bebas jika didapati "menghasut orang ramai melanggar undang-undang".

Sambil "memberi nasihat" kepada MIC, Sanusi berkata, sebagai sebuah parti politik berdaftar pertubuhan itu tidak boleh membela orang atau pihak yang didapati melanggar undang-undang.

"Saya ingin memberi nasihat kepada MIC Kedah dan MIC pusat, terutama sekali apabila kita terbabit dalam politik melalui sebuah parti... Parti kita ada perlembagaan, perlembagaan kita diluluskan oleh ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

"Contohnya, dalam isu kuil, apabila kuil dibina di tempat yang tidak dibenarkan, ia melanggar undang-undang.

"Adakah MIC ditubuhkan sebagai parti politik untuk menghasut orang ramai melanggar undang-undang?

"Kalau dia ditubuhkan untuk menghasut orang ramai, MIC patut diharamkan di negara ini. (Ia) tidak boleh dibenarkan bergerak bebas," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman MIC Kedah yang menganggap negeri Jelapang Padi Malaysia itu bukan lagi sejahtera untuk didiami masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu dalam reaksi segera MIC, presidennya, SA Vigneswaran, membidas PAS dan menganggap parti itulah yang sepatutnya diharamkan kerana didakwa menyokong organisasi tidak rasmi antarabangsa.

Mesra sebelum jadi kerajaan

"Jika membela hak masyarakat dan agama masing-masing ditafsirkan sebagai menghasut, (maka) PAS yang sepatutnya diharamkan.

"Ini kerana kita dengar ada banyak aduan terhadap mereka ketika menjadi pembangkang, (misalnya) sentiasa melakukan demontrasi berhubung isu antarabangsa.

"Dari dulu lagi banyak rakyat menganggap PAS menyokong organisasi antarabangsa yang berkaitan dengan pengganas.

"PAS juga suka mencampur tangan isu negara lain yang bercanggah dengan pendirian Malaysia bahawa kita tidak wajar masuk campur dalam hal kedaulatan negara lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bekas yang dipertua Dewan Negara itu juga meminta Sanusi supaya tidak lupa daratan dan menegaskan MIC tidak bergantung kepada PAS dalam kerajaan PN.

"Jangan lupa keadaan kamu enam bulan yang lalu. Inilah wajar sebenar PAS. Mesra sebelum menjadi kerajaan.

"Dulu bersama Umno, sekarang tukar kepada Bersatu pula. Nampaknya, DAP tidak boleh disalahkan ketika PAS keluar dari Pakatan Rakyat kerana kita boleh nampak tindak-tanduk PAS," katanya.

Vigneswaran juga mencabar Sanusi untuk mengharamkan MIC dan berjanji untuk menerima keadaan itu jika berjaya dilakukan.

Pun begitu Vigneswaran melontarkan kembali pertanyaan kepada anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu sama ada dia sedi melepaskan jawatan sebagai menteri besar atau tidak jika gagal mengharamkan MIC.

Katanya lagi Sanusi juga dianggap "berbohong" apabila mendakwa kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak ada memberikan peruntukan kepada kuil.

"Tapi, kita dah buktikan dia menipu, tapi dia tidak minta maaf.

"Apabila kamu merobohkan kuil tanpa sebarang ganti rugi, tak bolehkah kami (MIC) mempersoalkannya? Siapa lagi boleh tanya kalau bukan MIC?

"MB Kedah sepatutnya jawab soalan kami atau beri tapak gantian untuk rumah ibadat. MB Kedah tidak matang dan inilah akan terjadi jika pemimpin tidak matang menjadi MB.

"Pergi tanya apa jadi pada janji presiden PAS (Abdul Hadi Awang) yang memberikan jaminan tidak akan merobohkan kuil jika PAS menubuhkan kerajaan (bersama) PN," katanya.

Taktik mengalih cerita

Untuk rekod, semalam Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan sebuah kuil Hindu di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Kuil Sri Raja Muniswaran yang berusia 30 tahun itu dirobohkan selepas tapak tersebut - yang dimiliki kerajaan negeri - mahu dibangunkan.

Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.

Ekoran itu Ketua Biro Aduan Awam Pemuda MIC Kebangsaan Sasitharan Samugam Pillai mendakwa amalan kebebasan agama tidak lagi sejahtera di Kedah.

"Apabila ditanya pada pejabat MBAS, mereka berkata ini arahan Pejabat Menteri Besar, dan bila dirujuk ke Pejabat MB dikatakan ada arahan penangguhan ada dikeluarkan tapi penguat kuasa berdegil untuk merobohkannya.

"Ini adalah taktik mengalih cerita dan akhirnya penganut Hindu yang jadi mangsa.

"Kelihatan kini seperti masyarakat India tidak ada nilai lagi sebagai rakyat negeri Kedah. Nampaknya, amalan kebebasan agama tidak lagi sejahtera di Kedah," katanya dalam satu kenyataan.

Hubungan MB Kedah dengan MIC negeri itu mula tegang selepas sebuah kuil di stesen kereta api Alor Setar dirobohkan awal tahun ini.

Keadaanya menjadi lebih rumit apabila Sanusi memberitahu tiada peruntukkan untuk kuil dan rumah ibadat bukan Islam disediakan dalam Belanjawan 2021 Kedah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen