PARLIMEN | DAP mahu kementerian luar negeri menegur anggota parlimen PAS yang mendesak kerajaan supaya mengklasifikasikan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pengganas.
Anggota Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat kenyataan itu ketika berbahas peruntukan kementerian luar di Dewan Rakyat semalam.
Dia berkata demikian ketika mengkritik negara AS dan Israel atas tindakan pencerobohan terhadap negara-negara Islam.
“Pendirian Malaysia mesti tegas, kita tidak mengatakan Palestin itu pengganas tetapi kita mengatakan Yahudi-Israel itu adalah negara pengganas. Begitu juga Amerika Syarikat,” katanya dalam Dewan Rakyat.
Tambah Zawawi, negara lain yang turut mengancam negara Islam turut dikategorikan pengganas.
Timbalan Menteri Luar, Kamaruddin Jaffar enggan mengulas berhubung gesaan anggota parlimen PAS itu namun hanya mengatakan bahawa Malaysia dan AS mempunyai hubungan dua hala yang bebas.
“Atas pendirian tersebut kalau ada tindakan oleh mana-mana negara yang kita tidak berpuas hati mungkin memberi pandangan dan ulasan kita.
“Jadi kita tidak perlu memberikan pengisytiharan berkaitan dengan negara pada keseluruhan atau pada umumnya,” jelasnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, DAP berkata walaupun tindakan keganasan wajar dikutuk, Malaysia mesti tetap objektif dan bijaksana.
Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching berkata, mengisytiharkan negara AS pengganas boleh membawa kesan serius terhadap ekonomi Malaysia, dan juga kehidupan rakyat Malaysia yang tinggal di AS.
“Pasir Puteh perlu sedar bahawa kata-katanya, sebagai ahli parlimen dan sebagai ketua dewan ulama PAS boleh memberi kesan buruk kepada negara.
“Pada masa genting seperti ini, mungkin adalah lebih baik untuk memikirkan tentang rakyat Malaysia yang telah kehilangan mata pencarian sebelum meletakkan kestabilan ekonomi kita dalam risiko,” tambahnya.
Tambahnya, dia turut mendesak kementerian luar menegur ahli parlimen PAS itu dan menolak pandangan dasar luarnya yang menyimpang ke atas rakan dagang kedua terbesar negara ini.