malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun Meru pertimbang heret Top Glove ke mahkamah
ADS

Seorang Adun Selangor mempertimbangkan untuk mengheret syarikat pengeluar sarung tangan getah Top Glove ke mahkamah kerana membiarkan kilangnya di Klang terus beroperasi.

Perkembangan itu hadir ketika Kluster Teratai Covid-19 yang berkaitan dengan operasi syarikat itu meningkat sebanyak 5,056 kes positif setakat semalam.

Menurut Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang merupakan Adun Meru, kluster itu tidak lagi hanya melibatkan pekerja kilang syarikat itu tetapi telah merebak ke masyarakat setempat.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima setakat ini, sekurang-kurangnya 11 penduduk Meru telah dijangkiti Covid-19. Ini adalah orang yang tinggal di kawasan yang telah ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Kita sedang menunggu pengumuman rasmi Kementerian Kesihatan untuk melihat angka hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Kluster Teratai pertama kali diumumkan pada 7 November. Pada masa itu, jumlah kes positif adalah sebanyak 74 orang.

Sejak itu jumlahnya meningkat, memaksa kerajaan untuk mengenakan PKPD selama 14 hari di lokasi di Meru yang menempatkan asrama pekerja Top Glove.

Perintah itu telah dilanjutkan selama dua minggu lagi hingga 14 Disember ini.

Namun PKPD itu tidak termasuk kilang Top Glove.

Pada 23 November, pihak berkuasa memerintahkan syarikat itu untuk menutup semua 28 kilang yang ada di Klang, yang harus dilakukan secara berperingkat untuk membolehkan semua pekerjanya diuji bagi virus tersebut.

Semalam, Kluster Teratai menjadi penyumbang terbesar bagi kes positif harian Covid-19 di negara ini, dengan mencatat 778 kes, atau 52.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,472.

"Setakat yang saya tahu, ada kilang (Top Glove) yang masih beroperasi. Saya berharap mereka akan menghentikan semua operasi buat sementara waktu.

"Kami akan terus menekan mereka (untuk melakukannya). Dan saya memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Top Glove bagi pihak penduduk Meru," kata Fakhrulrazi.

Malaysiakini telah menghubungi agensi yang mengendalikan perhubungan awam untuk Top Glove untuk mendapatkan komen syarikat itu mengenai perkara ini.

Lihat Komen