malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adat nibau, kenduri arwah dikhuatiri punca penularan Covid-19 di Kota Belud
ADS

Pihak berkuasa kesihatan sedang meneliti beberapa majlis pengkebumian, kenduri arwah dan adat nibau (ziarah ke rumah arwah) yang dibimbangi menjadi punca penularan kes Covid-19 di Kota Belud, Sabah.

Antara 22 November dan hari ini, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud telah menghantar sebanyak 15 notis pemberitahuan untuk mengenal pasti individu yang menghadiri upacara nibau, majlis pengebumian, kenduri arwah dan telah berkunjung ke tujuh buah kampung keluarga mereka yang meninggal.

Notis itu bertujuan supaya mereka yang dikenal pasti hadir majlis memperingati di mati yang disebut dapat diuji untuk Covid-19.

Berdasarkan notis pemberitahuan tersebut, difahamkan ia melibatkan upacara yang berlangsung antara 11 dan 21 November di kampung-kampung, iaitu: Kampung Menunggui; Kampung Tawadakan; Kampung Pantai Emas; Kampung Merabau; Kampung Nanamun; Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Tempasuk 1.

Salah satu daripadanya telah mengakibatkan penularan kluster jangkitan Covid-19. Kluster tersebut diumumkan oleh Kementerian Kesihatan semalam. Ia dinamakan Kluster Tempasuk yang telah mencatat 12 kes positif.

Malaysiakini difahamkan pihak berkuasa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan kerjasama daripada penduduk kampung berhubung majlis sebegitu, yang menjadi sebahagian tradisi masyarakat sejak zaman berzaman.

Menurut seorang pemimpin politik setempat, penduduk juga tidak memiliki kesedaran mengenai prosedur pencegahan Covid-19.

Ia juga menjadi satu faktor mengapa mereka terus mengadakan majlis perjumpaan ketika wabak sedang berlaku.

“Orang kampung ini (ada) macam-macam adat-adat lama. Mereka guna macam bawa tradisi dari dulu.

“Jadi SOP ni mereka macam tak berapa hiraukan. Itulah masalah sebenarnya di Kota Belud ni. Pemahaman SOP itu kurang,” kata Fadli Juanas.

Fadli, yang merupakan ketua Umno Bahagian Kota Belud, berkata penduduk suku Bajau di daerah itu mengamalkan adat nibau, di mana mereka akan menziarahi rumah keluarga yang baru kehilangan orang tersayang.

Ketika ziarah itu dilakukan, mereka akan orang membawa bakul makanan yang kemudian dikongsi bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang. 

Pihak keluarga tersebut kemudian akan turut menyediakan bakul makanan mereka, yang seterusnya akan dikongsi dengan penduduk lain yang hadir melawat mereka.

Jelasnya, masyarakat akan terus mengamalkan adat nibau walaupun berdepan dengan risiko wabak.

“Kalau ikut (jumlah kes di) Kota Belud ni, senarai dikeluarkan, (kes di) Kota Belud boleh tahan juga. Ada beberapa kampung ni PKPD, lockdown terus,” katanya.

Katanya, meskipun hanya boleh dibenarkan 20 orang untuk berkumpul, tetapi dia berkata bagi majlis kenduri sedemikian ia agak mustahil untuk menghalang orang daripada datang melawat.

Salah seorang sumber yang terlibat dalam menangani pandemik tersebut di Kota Belud turut menyuarakan kekecewaannya berhubung perkara itu.

“Itu kena tanya siapa yang anjur tu, kenapa buat kenduri segala,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehingga tengah hari semalam, Kota Belud mencatatkan 13 kes positif baru, menjadikan jumlah kes aktif di daerah itu sebanyak 98.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah, Masidi Manjun ketika dihubungi diminta mengulas mengenai isu tersebut, dia berkata kerajaan negeri telah berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang wabak itu melalui kempen penerangannya.

Dia berkata sikap masyarakat dalam mematuhi SOP akan menjadi faktor penentu untuk memastikan kejayaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Kempen penerangan dan pendidikan kesihatan oleh pelbagai jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan, RTM (Radio Televisyen Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia), Jabatan Kesihatan, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan lain-lain dilakukan setiap hari di seluruh pelusuk negeri ini.

“Kakitangan barisan hadapan kesihatan dan hospital atau frontliners pula bekerja tanpa henti demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat .

“Rakyat biasa, yakni sikap kita sendiri adalah antara faktor terbesar kejayaan kita memerangi pandemik ini,” katanya.  

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen