malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gergasi teknologi minta Muhyiddin campur tangan
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 2:35 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Syarikat gergasi teknologi Microsoft, Google dan Facebook meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin campur tangan berhubung keputusan Menteri Pengangkutan menarik balik dasar pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel bawah laut, yang menghubungkan Malaysia ke rangkaian internet global.

Pengecualian ini membantu mempercepatkan pembaikan kabel dasar laut yang rosak dari semasa ke semasa, yang menyebabkan gangguan internet di negara ini.

Microsoft, Google, Facebook dan Malaysia Internet Exchange (MyIX), dalam memorandum kepada Muhyiddin bertarikh 20 Nov berkata keputusan menteri pengangkutan Wee Ka Siong akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

Menurut surat yang dilihat Malaysiakini, syarikat-syarikat teknologi itu mengingatkan bahawa keputusan Wee akan mengakibatkan peningkatan tempoh pembaikan kabel dasar laut sehingga menjejaskan kestabilan internet di Malaysia.

"Pada saat jutaan rakyat Malaysia bergantung pada internet untuk mencari nafkah, pemulihan infrastruktur Internet bawah laut yang mewakili pelaburan bernilai berbilion ringgit tak wajar ditangguhkan setiap kali pembaikan perlu dilakukan," katanya.

Menggambarkan keputusan Wee sebagai "tiba-tiba", mereka menyatakan kebimbangan serius bahawa tiada rundingan dengan pihak berkepentingan seperti pelabur asing dan pemilik kabel dasar laut.

Penciptaan monopoli

Mereka menambah keputusan itu akan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di Malaysia.

Pembatalan itu dibuat pada 15 Nov dan sehari kemudian, Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (Masa) menulis surat kepada Wee memuji keputusannya yang digambarkan oleh pengerusinya Abdul Hak Md Amin sebagai "patriotik" dan meletakkan "keutamaan kepada Malaysia".

Abdul Hak juga menegaskan bahawa anggotanya, Optic Marine Group sedang mendaftarkan kapal yang mengibarkan bendera Malaysia dan optimis kapal-kapal ini boleh memberi sumbangan kepada negara.

Optic Marine Group menggambarkan syarikat itu sebagai penyedia untuk projek pemasangan dan penyelenggaraan kabel bawah laut.

Ketua eksekutif kumpulan itu adalah Lim Soon Foo, yang keluarganya mengendalikan perniagaan milik persendirian. 

Anaknya, Ronnie Lim Hai Liang merupakan ketua pegawai eksekutif kumpulan.

Penamatan pengecualian kabotaj bermaksud kapal asing yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam pembaikan kabel dasar laut di Malaysia mesti sekali lagi memohon Pengecualian Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSLE).

Syarikat teknologi yang berkepentingan dalam memorandum mereka, menyatakan bahawa untuk kapal asing yang ingin mendapatkan DSLE, mereka mesti mendapatkan sokongan daripada Masa.

Mereka berkata di bawah DSLE, masa pembaikan kabel dasar laut adalah yang terpanjang di wilayah ini.

Tambahnya, purata masa pembaikan kabel dasar laut di Malaysia adalah 27 hari berbanding 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam.

"Ini menjadikan Malaysia kurang baik berbanding Singapura untuk kabel bawah laut mendarat walaupun jaraknya lebih pendek berbanding Singapura.

"Ringkasnya, undang-undang kabotaj tidak memberikan dampak positif terhadap pelaburan dan tidak juga mendukung aspirasi Malaysia sebagai pusat komunikasi dan multimedia tetapi sebaliknya memberi kesan negatif terhadap pembaikan," tambah mereka.

Mereka berkata di bawah pengecualian kabotaj, rata-rata masa pembaikan adalah 14 hari, hampir separuh daripada masa yang diperlukan di bawah DSLE.

Memorandum itu juga menyatakan bahawa Malaysia berhasrat menarik lebih banyak pusat data global ke Malaysia tetapi mengatakan pembatalan pengecualian kabotaj akan menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan yang kurang menarik.

Pihak berkepentingan memetik Facebook sebagai contoh dengan menyatakan bahawa Facebook melabur AS$ 11.5 bilion di pusat data dan menyumbang AS$ 18.6 bilion produk domestik kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Sebelum ini Wee membidas bekas menteri pengangkutan Anthony Loke kerana membuat pelbagai tuduhan terhadap kementerian pengangkutan (MOT) berhubung pembatalan dasar pengecualian kabotaj.

"Eh! Melindungi kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia itu satu dosa besar ke?

"Saya nak menegaskan bahawa MOT kini di bawah kepimpinan saya memberi keutamaan kepada kapal dan pekerja tempatan berbanding kapal atau hak asing.

"Tanggungjawab MOT adalah melindungi kepentingan rakyat Malaysia dan memupuk industri perkapalan domestik," tegasnya.

Selain itu kata Wee, pembatalan pengecualian ini juga dilakukan mengikut lunas undang-undang iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Lagi pun, banyak negara-negara jiran atau serantau mengamalkan dasar kabotaj, kenapa kerajaan Malaysia tak boleh?"soalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen