BERITA

ULASAN | Adun Meru bukan lompat parti tapi luas ruang demokrasi

Saari Sungib

22 Nov 2020, 2:12 pagi

Dikemaskini 8 hari lepas

A
+
A
-

ULASAN | Minggu lalu media melaporkan pandangan sahabat saya, Ahmad Syukri Ab Razab sebagai: Jika sah Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar keluar Amanah untuk menyertai PKR, beliau tidak patut dikecam sesiapa atau ditolak PKR.

Syukri yang juga setiausaha Pemuda PKR, berkata apa yang penting ialah Fakhrulrazi terus menjadi wakil rakyat Pakatan Harapan.

Saya setuju dengan hampir seluruh hujah yang diberikan Syukri. Saya setuju bahawa tiada sebab kenapa PKR perlu menolak permohonan Fakhrulrazi.

Bahkan Adun Meru itu tetap kekal dalam pakatan politik yang menjulang dan berjuang untuk melaksanakan agenda reformasi di segi dasar dan institusi di negara ini.

Beliau juga kekal sebagai seorang wakil rakyat PH. Beliau adalah Adun yang menyokong penuh PH. Dengan itu beliau adalah Adun Kerajaan dan mendapat peruntukan penuh daripada Kerajaan PH Selangor.

Tiada sebab PKR perlu menolak Fakhrulrazi (gambar, atas). Ini membuktikan bahawa tiada kepincangan dasar beliau ataupun parti beliau. Tindakan PKR tidak menolak Fakhrulrazi juga boleh diertikan sebagai perakuan tiada cacatnya Amanah.

Walau bagaimanapun, saya kira adalah lebih wajar jika Syukri tidak menggunakan istilah Fakhrulrazi keluar Amanah untuk menyertai PKR. Bagi saya istilah keluar Amanah tidak perlu digunakan. 

Di segi matematik, falsafah dan logik ianya tidak benar.

Adakah keluarnya Fakhrulrazi daripada Amanah bermakna dia meninggalkan prinsip dan mengabaikan mana-mana bahagian daripada agenda reformasi? 

Jika ya, maka ini bermakna ada kepincangan besar dalam Amanah. Bahkan ada sesuatu yang amat salah di segi politik yang sedang dilakukan oleh Amanah.

Jika ini berlaku mengapa ia dibiarkan sahaja oleh PKR? Apakah PH hanya satu pakatan yang memberi perhatian terhadap sesuatu kepentingan politik semata-mata? 

Di manakah peranan menegur, memberi nasihat atau membetulkan kesilapan kawan? Bukankah PH merupakan sebuah pakatan yang amat mementingkan muhasabah dan setiakawan?

Hak berpersatuan

Istilah keluar parti tidak digunakan dalam peruntukan yang terkandung di bawah Akta Pertubuhan. Pendekatan yang digunakan dalam hal ini adalah mesra sifatnya. Sebagai contoh, jika seorang ahli parti politik A menyertai parti politik B maka dengan sendirinya keahliannya di dalam parti politik A adalah terbatal.

Dalam konteks organisasi peruntukan ini banyak kelebihannya. Di peringkat akar umbi seperti cawangan atau ranting peruntukan yang mesra ini bertujuan sebagai proses semak dan sentiasa memastikan proses demokrasi yang sah berlaku dari awal dan dari akar umbi parti itu sendiri.

Dalam urusan pilihan ketua cawangan dan jawatankuasa cawangan, soalan keabsahan dan status ahli adalah sangat penting. Dengan adanya peruntukan ini, satu cawangan itu akan memastikan keabsahan ahli-ahli yang mengambil bahagian dalam pemilihan tersebut.

Sekiranya ada keraguan, contohnya beberapa orang dilihat berada di dalam parti yang lain terutamanya dalam parti komponen pakatan politik yang sama, maka hendaklah dilaporkan ke peringkat pusat untuk disemak status keahliannya.

Melalui proses ini, akan terjaminlah keabsahan sesuatu mesyuarat ataupun proses pemilihan kerana yang mengambil bahagian adalah di kalangan ahli-ahli yang sah sahaja.

Di peringkat yang lebih tinggi di dalam organisasi, apatah lagi yang melibatkan wakil rakyat, maka isu keabsahan ini hendaklah diberikan perhatian yang lebih berhati-hati.

Ambil contoh Fakhrulrazi, apa yang sepatutnya berlaku adalah setiausaha agung Amanah (Mohd Hatta Md Ramli) mengeluarkan surat bertanya kepada setiausaha agung PKR adakah PKR ada menerima permohonan untuk menjadi ahli daripada Fakhrulrazi.

Setelah menerima surat dari setiausaha agung Amanah, hendaklah setiausaha agung PKR memberi jawapan bertulis menjawab ya atau tidak.

Kedua-dua dokumen itu hendaklah difailkan dengan kemas sebagai bukti status keahlian menurut kaedah parti semasa Fakhrulrazi.

Dengan itu, saya setuju dengan Syukri (gambar, atas) yang mengatakan tidak wajar Fakhrulrazi diserang mana-mana pihak kerana setiap individu mempunyai hak berpersatuan. 

Menurut beliau, PKR juga harus menghormati hak itu dan menerima masuk Fakhrulrazi sekiranya itu kehendak beliau.

Perlu ditegaskan bahawa PH adalah pakatan politik yang memperjuangkan dasar dan aspirasi untuk membangunkan sebuah Malaysia Baru. Ia adalah pakatan politik yang tercetus bermula daripada Pakatan Rakyat.

Ia bermula dari suara keramat yang merupakan suara rakyat. apabila Pakatan Rakyat diuji dengan perubahan dasar dan idealisme perjuangan politiknya, suara rakyat sekali lagi mendesak agar Pakatan Harapan diwujudkan.

DUN Meru kekal kerusi Amanah

Oleh itu, PH hendaklah memberi ruang secukupnya agar setiap parti komponennya dapat saling menilai dan memperbaiki parti dan diri masing-masing.

Beralih ke parti antara satu sama lain tidak semestinya suatu perkara yang buruk. Ia hanya membuka dan meluas ruang memperteguh PH dan perjuangan. Ia tidak bertujuan untuk menunjukkan siapa yang betul siapa yang salah di kalangan anggota PH.

Tidak pula boleh mana-mana parti komponen PH memaksa ahlinya. Dengan itu, ia melebar dan meluaskan ruang demokrasi di negara ini.

PH berpendirian kerusi tidak diberikan kepada individu tetapi kepada parti. Tidak ada istilah calon bawa lari kerusi. Dalam kes ini, DUN Meru akan kekal sebagai kerusi Amanah. Tidak ada istilah lompat parti di kalangan komponen parti PH.

Peralihan keahlian tidak sepatutnya menjejaskan hubungan PH di semua peringkat. Untuk menjaga keutuhan Amanah di peringkat nasional, negeri dan kawasan, langkah terbaik adalah dengan mengadakan perbincangan di antara Fakhrulrazi dengan pimpinan Amanah sebelum beliau mengambil tindakan menjadi ahli PKR.

Pemimpin Amanah sokong Dr M jejas dukungan akar umbi

Beberapa minggu lalu, ketika Fakhrulrazi bertemu saya untuk meminta pandangan dari saya, apakah wajar beliau menyertai PKR. 

Saya menjawab bahawa kesan daripada pimpinan Amanah terlalu ingin menonjolkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad telah banyak menjejaskan sokongan ahli dan rakyat kepada Amanah.

Kita perlu sedar bahawa untuk menebus segala kurangnya sokongan ini, hendaklah kita menumpukan untuk mengukuhkan agenda meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9.

Saya percaya bahawa usaha untuk melipat gandakan imej Anwar sebagai perdana menteri yang mampu membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat Malaysia akan menjadi realiti. 

Saya yakin jika Anwar Ibrahim dibantu parti-parti komponen PH ditambah lagi dengan usaha yang lebih mantap lagi dari parti sendiri, perkara ini akan dapat dicapai.

Dengan itu saya mencadangkan agar beliau menyertai PKR dengan matlamat ini. 

Saya sendiri telah mengingatkan beliau agar bertemu dengan Presiden Amanah
Mohammad Sabu, untuk menjelaskan hasrat beliau.


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang dan pemimpin bahagian Amanah.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen