BERITA

KKM mahu PKP sekali lagi di Selangor tapi kesan ekonomi terlalu besar

21 Nov 2020, 10:58 pagi

Dikemaskini 7 hari lepas

A
+
A
-

Kementerian Kesihatan (KKM) pada mulanya mahu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di Selangor pada bulan lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika sesi taklimat khas berkenaan usaha negara menangani Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata kesannya terhadap ekonomi amat besar, maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang lebih longgar.

"Di Selangor memang amat mencabar. Walaupun tindakan kita awal, 14 Oktober sudah laksanakan PKPB.

"Ketika itu, kalau boleh kita nak laksanakan PKP tetapi kosnya amat tinggi kerana 40 peratus ekonomi negara adalah di Selangor. Jadi kita laksanakan PKPB," katanya.

Hari ini, Selangor mencatatkan 402 kes positif baru Covid-19, lebih tinggi berbanding Sabah dengan 346 kes.

Menurut Noor Hisham, di Sabah kerajaan dapat mengambil tindakan dengan melakukan ujian saringan terhadap mereka yang pulang dari negeri itu dan mengenakan perintah kuarantin kepada mereka yang negatif.

"Tetepi di Selangor, adakah kita boleh buat saringan kepada semua yang keluar dan masuk negeri, dan kuarantin mereka 14 hari jika mereka mendapat keputusan negatif?

"Kita tidak mampu laksanakannya," katanya.

Justeru itu, katanya lagi, penduduk di Selangor perlu memainkan peranan dengan mematuhi langkah keselamatan seperti menjaga penjarakan fizikal.

PKPB dikuatkuasakan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 November lalu, susulan peningkatan kes Covid-19.

Dikuatkuasakan selama dua minggu, ia sudah dilanjutkan beberapa kali dan dijangka berakhir pada 6 Dis ini.

Perintah sama kemudian dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Kerajaan Selangor pada mulanya membantah penguatkuasaan itu.

Menurut laporan, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) mencadangkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya Utara, berbanding PKPB di seluruh negeri.

PKPD adalah penguatkuasaan yang lebih ketat dengan semua isi rumah dilarang keluar dengan bekalan makanan diberikan dan semua perniagaan ditutup untuk satu tempoh masa bagi pelaksanaan pengesanan kontak. Ia biasanya ditamatkan setelah semua penduduk menjalani ujian.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen