malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ada MP pembangkang terbuka terima RUU perbelanjaan penting
ADS

Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi amaran terhadap implikasi yang bakal terjadi sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Namun beberapa anggota parlimen menyifatkan kenyataan Zafrul sebagai tidak masuk akal.

Beberapa wakil rakyat yang dihubungi Malaysiakini berkata, sekiranya Belanjawan 2021 itu tidak diluluskan, Pekara 102 Perlembagaan Persekutuan dapat digunakan untuk mengemukakan rang undang-undang (RUU) berasingan bagi membenarkan perbelanjaan penting dibuat.

Perbelanjaan penting merangkumi emolumen penjawat awam dan peruntukan kesihatan yang diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19.

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen dari Amanah, PKR dan DAP berkata mereka akan menyokong RUU tersebut sekiranya kerajaan meminda peruntukan Belanjawan 2021 yang disifatkan kontroversi seperti dana RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Belanjawan pertama kali oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini berada di kedudukan paling genting, sama ada dari sudut politik, ekonomi, mahupun kesihatan awam.

Kesan ekonomi ketara disebabkan wabak Covid-19 menuntut campur tangan fiskal oleh kerajaan namun gara-gara majoriti tipis PN di Dewan Rakyat, buat pertama kali dalam sejarah negara, RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 berdepan risiko untuk tidak diluluskan.

Baru-baru ini, Tengku Zafrul menyuarakan kebimbangan penjawat awam dan petugas barisan hadapan Covid-19 berisiko kehilangan gaji jika belanjawan berkenaan tidak diluluskan.

Tak pernah dalam sejarah

Pengarah Belanjawan Negara Johan Mahmood Merican malah berkata, ahli dewan rakyat perlu meluluskan belanjawan kali ini.

Bagaimanapun, anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) menyanggah pandangan itu kerana adanya Perkara 102 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan tersebut antara lain menyebut parlimen mempunyai kuasa berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan:

(a) Sebelum lulusnya rang Undang-undang Perbekalan, untuk membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi sebahagian tahun itu

(b) Untuk membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi seluruh atau sebahagian tahun ini selain mengikut Perkara 99 hingga 101, jika ternyata kepada parlimen wajar berbuat demikian oleh sebab pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan atau oleh sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya.

Apakah maksud Perkara 102?

Tiada pernah berlaku dalam sejarah Malaysia setakat ini, seksyen (b) peruntukan tersebut digunakan, namun ketua Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam, Karen Cheah, berpendapat wajar untuk menganggap wabak Covid-19 sebagai situasi yang luar biasa keterdesakannya.

"Oleh kerana isu ini mendesak, parlimen dapat menggunakan kuasa khasnya di bawah Perkara 102 untuk mengizinkan pengeluaran luar biasa bagi penjawat awam kita, sama ada pada persidangan ini atau pada sidang parlimen berikutnya pada Mei 2021," katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Cheah, seksyen tersebut membenarkan kerajaan untuk menyusun perbelanjaan persekutuan mengikut RUU Perbekalan bagi sepanjang tahun atau sebahagian daripadanya.

Sebagai alternatif, PN dapat membentangkan peruntukan tambahan seperti tertakluk dalam Perkara 101 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ahli parlimen masih perlu menyetujuinya.

"Kelulusan dasripada ahli Dewan Rakyat masih diperlukan untuk setiap langkah," kata Cheah.

Sementara itu, pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari (gambar) pula mempunyai pandangan berbeza.

Penulis buku Malaysian Constitution: A Critical Introduction dan ketua pembangkang Perak itu berpendapat , Perkara 102 hanya wajar digunakan ke atas situasi apabila kerajaan tidak cukup dana pertengahan tahun selepas bajet diluluskan.

"Jika kita ada masalah ekonomi seperti Covid-19 atau banjir dan kita ada situasi anggaran (awal) salah atau tidak tepat, baru adil untuk memberi kelonggaran kepada kerajaan meminta peruntukan tambahan.

"Tetapi sekarang, ia masa untuk belanjawan (bukan pertengahan tahun). Ia berbeza daripada apa yang dirangka perlembagaan," katanya.

Ada sebab untuk tolak

Sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, Adun Tebing Tinggi itu menegaskan satu-satunya pilihan yang ada berdasarkan perlembagaan ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, sesuai dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Kamu harus lihat perlembagaan secara menyuluruh, bukan hanya Perkara 102.

"Kerajaan harus mempunyai sokongan dan majoriti untuk terus memerintah atau jika tidak, mereka harus memberi ruang kepada kerajaan baru untuk membentangkan belanjawan," kata Aziz lagi.

Perkara 43 (4) menyatakan, jika tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, perdana menteri boleh meminta Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan agar membubarkan Parlimen.

Sekiranya Agong menolak, perdana menteri harus meletakkan jawatannya.

Ketika tarikh pengundian menentukan nasib bagi Belanjawan 2021 semakin hampir - iaitu 26 Nov ini - kebanyakan pemimpin pembangkang dan anggota parlimen kerajaan menyatakan sokongan bersyaratnya.

Hanipa Maidin

Sesi perbahasan untuk belanjawan itu berakhir semalam dan menteri kewangan harus menjawab persoalan yang dibangkitkan mulai minggu depan.

Adakah kerajaan perlu dipaksa mengunakan peruntukan Perkara 102? Anggota Parlimen Sepang yang mewakili Amanah, Hanipa Maidin, meramalkan ada beberapa sebab untuk menolaknya.

"Saya tak nampak Amanah ada masalah untuk menyokong langkah itu. Berada dalam PH, sebarang keputusan oleh parti akan tertakluk dalam mesyuarat PH," katanya ketika dihubungi.

Bekas menteri undang-undang itu turut mengecam Tengku Zafrul yang didakwa menyemai ketakutan tidak berasas semasa memberikan pandangannya jika belanjawan kali ini tidak diluluskan.

"Ugutan daripada menteri kewangan - yang dibuat mungkin bertujuan untuk membangkitkan kegusaran rakyat, khususnya penjawat awam dan petugas barisan hadapan itu - jelas tidak berasas.

"Hanya kerana belanjawan tidak diluluskan, masih ada cara lain mengikut perlembagaan untuk mengeluarkan dana menerusi Perkara 102," tambahnya.

Anggota Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, turut mengkritik menteri kewangan dan berkata PH sudah bersedia untuk meluluskan "bajet terhad" itu.

R Sivarasa

"Meskipun PH sokong atau tak bajet kerana isu kontroversi, saya yakin PH akan sokong bajet terhad (limited budget) bersama kerajaan untuk pastikan penjawat awam dan petugas barisan hadapan dibayar dan semua keperluan operasi termasuk untuk kegunaan Covid-19," katanya.

Senada dengan pendirian itu, seorang lagi anggota parlimen yang memiliki latar belakang pendidikan guaman Ngeh Koo Ham dari Beruas.

"Anggota parlimen pembangkang telah berkata, mereka setuju dengan bayaran gaji untuk penjawat awam," katanya.

Tidak menentang penggunaan Perkara 102, Anggota Parlimen dari PKR, William Leong (Selayang) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) berkongsi pandangan dengan Abdul Aziz, iaitu jika Belanjawan 2021 ditolak, kerajaan PN harus diturunkan.

Nik Nazmi berpendapat, langkah yang tepat ketika situasi seperti ini ialah melihat adakah terdapat anggota parlimen lain yang mempunyai majoriti untuk menjadi perdana menteri dan kemudian membentuk kerajaan serta membentangkan Belanjawan 2021 yang baru.

"(Perkara 102) boleh guna, tetap jika orang lain boleh bentuk majoriti jadi ia akan diperdebatkan," kata Nik Nazmi.

Leong pula bersetuju akan pembentangan Belanjawan 2020 yang baru.

"Saya percaya ia untuk tujuan praktikal, tetapi jika ada majoriti anggota parlimen tidak mengundi belanjawan tersebut, ia bermaksud mereka akan undi untuk belanjawan baru," katanya lagi. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen