malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bandar daerah Kuala Krai dinobatkan sebagai bandar paling bersih bagi kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kelantan bagi tahun 2020.

Perkara itu diumumkan pada majlis sambutan Hari Kelantanku Bersih yang berlangsung di Kota Bharu, hari ini.

Majlis Daerah Kuala Krai berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM25, 000 yang disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Pada majlis itu juga kerajaan Kelantan menyerahkan 13 buah lori kompaktor dan empat buah lori kepada 12 PBT di seluruh negeri.

Ahmad berkata, dengan peningkatan peruntukan saban tahun dan penyerahan 13 lori kompaktor dan 4 buah lori kepada setiap PBT pada hari ini yang jumlah keseluruhan melibatkan kos RM5 juta telah menunjukkan komitmen kerajaan bagi menjadikan kelantan negeri bersih, indah dan ceria.

"Usaha-usaha yang diambil bagi mewujudkan tahap kebersihan persekitaran yang berkualiti melalui pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan tidak akan mencapai matlamat tanpa perubahan terhadap kesedaran dan sikap semua pihak mengenai tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu Ahmad berkata, tiga faktor utama yang diperlukan dalam menjayakan agenda Kelantanku Bersih iaitu peranan pihak berkepentingan, penguatkuasaan dan kesedaran rakyat.

"Setiap rakyat perlu memiliki kesedaran tentang pentingnya memelihara kebersihan dan turut mengambil inisiatif membantu pihak berkuasa dalam memastikan persekitaran kawasan tempat tinggal mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih.

"Justeru, pendidikan kebersihan secara berterusan melalui medium media sosial dan media cetak dan penglibatan penduduk dalam aktiviti berkaitan kebersihan persekitaran perlu dipertingkatkan bagi memastikan semua golongan masyarakat sedar dan peka serta mengambil berat tentang aspek-aspek kebersihan persekitaran," jelasnya.

Lihat Komen