malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno minta KWSP longgarkan syarat permohonan i-Sinar
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 7:02 PM
Dikemaskini: 1:48 PM
ADS

Pemuda Umno menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonggarkan syarat pengeluaran akaun 1 menerusi i-Sinar, yang disifatkannya sebagai terlalu ketat.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkenaan syarat yang ditetapkan itu.

Menurut KWSP semalam, pencarum yang layak membuat permohonan adalah mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji dan tiada sumber pendapatan, akibat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Asyraf berkata ramai yang pendapatannya terjejas tidak termasuk dalam kategori itu.

"Melihat kepada ringkasan syarat permohonan i-Sinar yang dihantar kepada salah seorang pengadu, nampaknya semacam KWSP begitu rigid dan ketat dalam meletakkan syarat pengeluaran akaun 1 pencarum.

"Ramai yang terjejas teruk punca pendapatan tetapi tidak berada dalam kategori diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

KWSP WAJAR PERLONGGARKAN SYARAT 1. Ramai yang mengadu kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia termasuk yang hantar mesej...

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Selasa, 17 November 2020

Katanya, ramai yang berdepan kesukaran akibat kesan Covid-19 dan berharap untuk mengeluarkan simpanan mereka bagi menyelesaikan perbelanjaan dan komitmen yang tertunggak.

“Pemuda Umno mengharapkan ihsan KWSP untuk melonggarkan syarat dan mengambil kira juga masalah rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya lagi.

Sebelum ini, KWSP berkata perincian mengenai i-Sinar akan diumumkan 18 Nov ini, iaitu esok.

Bagaimanapun berdasarkan pengumuman KWSP semalam, para pencarum boleh membuat permohonan pengeluaran akaun 1 bermula Disember ini, dengan pengeluaran pertama pada Januari 2020.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Bagi pencarum dengan baki RM90,000 ke atas dalam akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

Bagaimanapun, berbeza dengan skim i-Lestari, pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

'i-Sinar jadi i-Sedih, i-Marah'

Puteri Umno pula berkata KWSP sepatutnya membuka permohonan untuk i-Sinar kepada semua pencarum.

Katanya, orang yang memerlukan bantuan kewangan pada masa ini bukan kalangan yang diberhentikan kerja atau ditangguh bayaran gaji semata-mata.

"Ramai mengadu gaji mereka dipotong hingga 50 peratus dan semakin tersepit Adakah mereka perlu minta majikan berhentikan kerja hanya untuk layak keluarkan KWSP sendiri?

"Ramai yang kecewa dengan pengumuman terkini KWSP, ramai yang sebut ini bukan i-Sinar tapi i-Sedih dan i-Marah," kata ketuanya Zahida Zarik Khan.

Lihat Komen