malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Biar saya mati dalam gelanggang politik - Shafie
ADS


Bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal mempertahankan keputusannya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas kerajaan Warisan pimpinannya diganggu-gugat pihak tertentu.

"Saya rela mati dalam gelanggang politik daripada menyerahkan kerajaan. Biar rakyat tentukan," katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shafie berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Alamin (BN-Kimanis) apakah dia kesal kerana mencadangkan pembubaran Dun bagi mengadakan PRN Sabah sehingga membawa peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Tegas Shafie dia tidak akan tunduk kepada pihak yang mengamalkan konsep "cash is king" dan mempunyai keupayaan untuk membeli wakil rakyat.

Katanya, PRN Sabah tidak akan berlaku jika kerajaan pimpinannya tidak diganggu oleh pihak tertentu.

"Saya bukan sanggup mati kerana Covid-19, saya nyatakan nak menyerahkan kuasa bukan kepada pihak yang bergantung kepada ‘cash is king’ kerana ‘purchasing power’.

"Nak serah kuasa baik saya mati dalam gelanggang politik. Bukan mati kerana covid, mati di gelanggang politik," katanya.

Mohd Shafie memohon perkenan bagi membubarkan DUN Sabah selepas sekumpulan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bersamanya mengalih sokongan kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Parti Warisan Sabah (Warisan) tewas dalam PRN Sabah yang berlangsung 26 Sep lalu apabila hanya berjaya memenangi 29 kerusi.

Manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara berjaya membentuk kerajaan negeri yang baru di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi.

GRS dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, BN mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.
Selepas PRN Sabah, negara menyaksikan gelombang ketiga penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Shafie berkata jika tidak gangguan daripada kerajaan kini, maka situasi Covid-19 di negeri itu kekal terkawal.

Katanya, sebelum PRN negeri itu adalah negeri paling terkawal dari wabak pandemik berkenaan.

“Kalau sekiranya tidak ada gangguan daripada kerajaan yang ada pada hari ini negeri Sabah adalah negeri yang amat terkawal keranan mempunyai paling banyak ‘green area’.

“Tetapi malangnya kerana mereka berkuasa mereka mahu mengambilnya,” katanya lagi.

Lihat Komen