malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rokok seludup bernilai lebih RM2.9 juta dirampas
ADS

Sejumlah 19,600 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM2.94 juta berjaya dirampas Polis Marin Wilayah Tiga dalam serbuan di kawasan hutan bakau Sungai Bukit Kluang, Besut, Terengganu, dalam kejadian jam 5 pagi hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, ACP Norzaid Muhammad Said, berkata kes itu menjadi rampasan rokok terbesar pihaknya untuk tempoh sejak Jan lalu.

Katanya lebih 3.9 juta batang rokok dirampas pagi tadi.

Menurut Norzaid, pegawai dan anggota PPM bertindak atas maklumat orang awam dan membuat serbuan di lokasi berkenaan selepas melihat sekumpulan lelaki memunggah barangan ke dalam dua lori.

"Hasil intipan yang dilakukan, anggota PPM menghampiri kumpulan terbabit untuk memperkenalkan diri, namun sebaik menyedari kehadiran kami, mereka melarikan diri dan meninggalkan lori serta barangan ini.

"Pemerikasaan lanjut di lokasi kejadian mendapati, terdapat pelbagi jenis rokok seperti jenama NYX hijau, NYX Merah dan John yang diisi di dalam kotak dan dibungkus plastik hitam dipercayai untuk pasaran luar Kelantan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di Tok Bali, hari ini.

Mengulas lanjut Norzaid berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan menjalankan kegiatan haram itu ketika air pasang dan rokok tersebut dibawa ke kawasan terpencil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelasnya, kegiatan menyeludup rokok dari Thailand itu juga dilakukan pada awal pagi iaitu sekitar jam 1 pagi hingga 3 pagi.

"Kesemua rokok dan lori dirampas dan kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

"PPM Wilayah Tiga sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di perairan serta persisiran pantai bagi membendung aktiviti penyedulupan serta menjaga keselamaran negara," katanya.

Tambah Norzaid, kerjasama semua pihak termasuk maklumat daripada orang awam sentiasa dialu-alukan dalam membantu pihaknya menjalankan tugas dan membanteras jenayah di kawasan perairan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen