malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Persaudaraan kemanusiaan kunci hadapi Covid-19
ADS

ULASAN | Kedatangan Rabiulawal amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam dengan penuh rasa gembira pada setiap tahun kerana padanya terdapat tarikh yang memperingati kelahiran utusan Allah SWT yang menjadi rahmat ke seluruh alam.

Pelbagai aktiviti telah dan bakal dirangka bagi mengisi tarikh 12 Rabiulawal melalui sambutan yang dinamai Maulidur Rasul.

Di samping ditetapkan sebagai hari cuti umum di Malaysia, tarikh itu juga diisi dengan pelbagai acara seperti bacaan selawat, berzanji, bacaan kitab Syama’il Muhammadiyyah, ceramah dan forum agama di pelbagi medium.

Hakikatnya, pengutusan Nabi Muhammad SAW diterima ramai pemikir - bahkan seluruh umat Islam - sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang harmoni.

Ini kerana melali pengutusan Rasulullah itu, risalah yang dibawa memfokuskan kepada perdamaian dan kerjasama antara manusia. Melalui al-Quran, Allah menegaskan tentang kewajiban menjalin hubungan damai antara orang Islam dan bukan Islam.

Malah umat Islam diarah untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka. Dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 Allah berfirman bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Selain daripada ayat tadi, terdapat pelbagai contoh teladan khusus ditinggalkan Rasulullah ketika berinteraksi dengan orang bukan Islam dan ia terkumpul dalam koleksi hadis.

Antaranya Muhammad melakukan transaksi perniagaan dengan orang Yahudi, iaitu dengan menggadaikan baju besi baginda untuk mendapatkan makanan. Peristiwa yang menunjukkan hubungan baik itu dapat dilihat seperti diriwayatkan di dalam hadis berikut: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” (Riwayat al-Bukhari)

Bangunkan kemanusiaan rentas sempadan

Dalam contoh yang lain, baginda juga melakukan urusan jual beli dengan orang bukan Islam (musyrik) tanpa sebarang halangan dan keberatan, sebagaimana dirakam di dalam hadis: "Kami bersama Nabi SAW, kemudian datanglah seorang musyrik berambut panjang membawa kambing. Lalu Nabi SAW bersabda: Silakan dijual atau diberikan? Maka dia (orang musyrik itu) menjawab: Tidak, tapi dijual. Maka baginda membeli daripadanya seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain dua insiden yang diriwayatkan sahih tadi, ketika menziarahi seorang sahabat yang sakit, baginda meminta beliau mendapatkan rawatan daripada doktor bukan Islam, iaitu al-Haris Kaladah.

Kepercayaan baginda terhadap kepakaran rawatan orang bukan Islam ini dapat dilihat melalui hadis: “Daripada sahabat Sa’ad mengisahkan, pada suatu hari aku menderita sakit, kemudian Rasulullah menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya di tengah dadaku hinggakan jantungku merasai sejuknya tangan baginda. Kemudian baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau menderita penyakit jantung. Temuilah al-Haris bin Kaladah dari Bani Thaqif, kerana sesungguhnya dia adalah seorang doktor. Dan hendaknya dia (al-Haris) mengambil tujuh buah kurma ajwa kemudian ditumbuk beserta biji-bijinya, kemudian meminumkanmu dengannya.’” (Riwayat Abu Daud)

Peristiwa di atas merupakan beberapa cebisan kisah daripada perjalanan hidup Rasulullah dalam interaksi baginda bersama komuniti sekeliling, khususnya orang bukan Islam.

Pesan universal dan teladan daripada Muhammad tadi jelas dapat dijadikan asas membangunkan budaya damai dan kerjasama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Kini, hala tuju pembentukan bangsa Malaysia yang kukuh dilihat semakin kendur akibat persepsi perpecahan dan ketidakstabilan yang timbul dalam masyarakat. Usaha membentuk perpaduan kaum dan agama yang dipupuk semenjak negara mencapai kemerdekaan pasti berdepan dengan situasi yang sukar dalam landskap sosiopolitik negara.

Asasnya, masyarakat Malaysia mampu dibangunkan merentasi sempadan persaudaraan seiman (al-ukhwah al-imaniyyah), kepada persaudaraan kemanusiaan (al-ukhwah al-basyariyyah).

Dengan kata lain, kita sememangnya dituntut untuk bersikap eksklusif dalam soal keimanan; tetapi harus bersikap inklusif dalam hubungan kemanusiaan agar tidak terjebak dengan gejala pluralisme agama yang amat terlarang.

Selari dengan itu, hubungan persaudaraan kemanusiaan ini melibatkan kerjasama setiap pihak dalam sebarang inisiatif kebajikan dan kebaikan yang merentasi latar belakang kaum, kepercayaan agama, tradisi budaya etnik, pegangan politik, dan status sosial.

Ketrepi sentimen pentingkan diri

Apabila pandemik Covid-19 tercetus, virus halus yang tersebar itu tentunya tidak mengenali latar belakang kaum, agama, budaya, atau ideologi politik. Malah semua pihak di seluruh dunia turut merasai keperitan impaknya, sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan, sosial, dan kesihatan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pandemik ini mampu menggugat keutuhan Hierarki Keperluan Maslow yang telah kita bina.

Kita semua berhadapan dengan musuh yang tidak mampu dikesan oleh saraf visual manusia, malah tidak dapat dicerap dengan mana-mana pancaindera sekali pun.

Tegasnya, setiap daripada kita berhadapan dengan risiko jangkitan virus di mana-mana dan pada setiap masa, sedangkan masih belum terdapat vaksin dan ubat antiviral yang benar-benar berkesan.

Lantaran itu, berasaskan ikatan persaudaraan kemanusiaan, kita perlu mengetepikan pelbagai sentimen dan kepentingan diri. Kerjasama antara pelbagai segmen masyarakat, melibatkan kepelbagaian kaum dan agama perlu diperkukuhkan dalam memerangi pandemik Covid-19, sekaligus memutuskan rantaian penularannya.

Dalam situasi ini, setiap pihak perlu mengamalkan norma baru, amalan kawalan kendiri, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pelbagai agensi untuk membendung penularan Covid-19.

Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri - dan pada masa sama mendedahkan pihak lain kepada risiko jangkitan - dengan meremehkan arahan yang ditetapkan.

Selain itu, kerjasama merentasi kaum dan agama juga perlu disemarakkan dalam aktiviti perniagaan dan pembangunan ekonomi. Kerjasama dalam mengharungi kegawatan ekonomi ini perlu melibatkan pelbagai pihak kerana mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 bukan hanya kaum atau agama tertentu sahaja.

Betapa ramai yang telah kehilangan pekerjaan, pengusaha mengalami kerugian dalam perniagaan, dan betapa lebih banyak syarikat yang tidak mampu meneruskan operasi dan akhirnya gulung tikar.

Dalam situasi segetir ini, kita seharusnya saling memerlukan antara satu sama lain untuk membantu meneguhkan kembali ekonomi setempat agar tidak ada pihak yang tercicir. Inisiatif pelbagai pihak untuk menyalurkan sumbangan dan bantuan, tanpa mengambil kira identiti kaum dan agama, merupakan manifestasi daripada penghayatan persaudaraan kemanusiaan yang amat diperlukan dan harus dilestari.

Kemiskinan dan kebuluran yang membawa kepada kemelaratan hidup sesungguhnya tidak akan mengira agama dan bangsa.

Janganlah pandemik global ini dijadikan ruang untuk menangguk di air keruh dengan menambah suasana panik dan tekanan. Berhentilah daripada mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan di sebalik kesempitan orang lain.

Hindarkan pandemik ini daripada dijadikan modal untuk mencari kesilapan orang lain. Ibaratnya kita menggunakan mata si lebah untuk mencari kebaikan pada setiap pihak, dan bukannya menggunakan mata si lalat untuk mencari kebobrokan yang hanya akan tambah memudarat.

Hakikatnya, sesuatu keburukan itu bukanlah fitrah mana-mana entiti tertentu, tetapi adalah warna tapisan pemikiran individu itu sendiri.

Kesimpulannya, kelahiran Nabi Muhammad SAW sememangnya adalah rahmat buat seluruh alam. Pelbagai pesan dan teladan yang dipaparkan oleh setiap saat kehidupan baginda sebenarnya mampu dijadikan asas dalam membentuk jati diri masyarakat majmuk di Malaysia.

Pastinya Maulidur Rasul kali ini bakal lebih bermakna dengan mengangkat proses penyuburan persaudaraan yang ditunjukkan baginda itu sebagai kunci kepada usaha setiap pihak menangani pandemik Covid-19.


DR MOHD ANUAR RAMLI ialah pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen