malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin patut ambil tindakan bermaruah, kata Amanah
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 11:37 AM
Dikemaskini: 3:40 AM
ADS

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepatutnya mengambil tindakan yang "lebih bermaruah" dengan mengakui kini kehilangan sokongan majoriti dan seterusnya meletak jawatan, kata Amanah.

Dengan pilihan yang diambil kerajaan sekarang, kata parti itu, mereka percaya sebenarnya Muhyiddin hanya mahu menyelamatkan dirinya daripada menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen yang dijadualkan bersidang 2 Nov ini.

“Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021.

“Sepatutnya Muhyiddin mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawatan.

“Ini adalah tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding pengisytiharan darurat,” menurut Amanah dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Amanah, tindakan meletak jawatan itu akan dapat menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam persengketaaan perebutan kuasa berpanjangan.

Pada masa sama Amanah berharap cadangan pengisytiharan perintah darurat itu ditolak Yang di-Pertuan Agong agar institusi demokrasi berparlimen terus dipertahankan.

Semalam, kabinet dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Muhyiddn dilaporkan setuju dengan pelaksanaan "darurat" atas dasar menangani penularan Covid-19.

Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan politik berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam parti.

Dalam kenyataan berasingan, Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata rakyat tidak sepatutnya dihukum dengan pengisytiharan darurat akibat kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin.

“Oleh yang demikian, Pejuang Muda mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha memanipulasi pengisytiharan darurat semata-mata bagi menyelamatkan jawatan dan kerajaan yang diyakini telah kehilangan majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

“Amat mendukacitakan apabila rakyat dan negara ini terpaksa menjadi tebusan politik para pemerintah yang rakus kuasa,” katanya. 

Lihat Komen