malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agong berhak tolak cadangan rombakan kabinet Muhyiddin - Aziz
ADS

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk menolak cadangan rombakan Kabinet bakal dikemukakan Muhyiddin Yassin kerana majoriti sokongan diperolehi Perdana Menteri ketika ini meragukan.

Pakar perlembagaan Dr Aziz Bari, berkata dalam situasi biasa menjadi hak perdana menteri melakukan rombakan kabinet, namun keadaan kini berbeza apabila majoritinya dipertikaikan.

"Dalam keadaan biasa, ia hak istimewa perdana menteri, tetapi sekarang berbeza kerana tidak jelas apakah Muhyiddin masih mendapat majoriti.

"Oleh itu Agong berhak untuk menolak cadangan rombakan Kabinet (perdana menteri)," katanya kepada Malaysiakini.

Aziz berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang mendakwa Muhyiddin akan melakukan rombakan Kabinet esok seperti mana tuntutan Umno.

Akhbar Mingguan Malaysia yang memetik sumber berkata pengumuman rombakan Kabinet akan diumumkan esok.

Ia sebagai langkah akhir kepada Ahli Parlimen Umno supaya tidak menarik kerjasama daripada gabungan politik PN.

Pada Selasa minggu lalu, mesyuarat biro politik Umno membuat keputusan untuk pertimbang semula sokongan parti itu kepada kerajaan PN.

Umno juga akan mengemukakan syarat baru serta mahukan perjanjian baru diadakan secara bertulis bagi meneruskan kerjasama itu.

Pada 16 Okt lalu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman, berkata jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet perlu diberikan kepada Umno, memandangkan parti itu memiliki kerusi terbanyak di parlimen.

Sementara itu, Aziz berkata isu majoriti menjadi masalah kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin dan ia perlu diselesaikan segera sebelum keadaan bertambah buruk.

"Satu-satunya cara untuk menghentikan kekalutan ini adalah dengan campur tangan ketua negara," katanya.

Lihat Komen