BERITA

PM tak perlu rombak Kabinet, kata Redzuan

18 Okt 2020, 3:24 pagi

Dikemaskini 4 hari lepas

A
+
A
-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof berpandangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu merombak Kabinet untuk memuaskan hati pihak tertentu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu berbuat, katanya lagi dengan menegaskan semua pihak dalam PN perlu memelihara kerjasama dalam gabungan itu.

"Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baru berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Katanya lagi, sebarang masalah dalam kerajaan ketika ini perlu diselesaikan secara rundingan .

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama 100 pengamal media di Ayer Keroh, malam tadi.

Kenyataan itu susulan dakwaan berkenaan desakan Umno terhadap perkara itu, sebagai antara syarat baru agar parti itu mengekalkan kerjasama dalam PN.

Pada 16 Okt lalu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman, berkata jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio penting dalam kabinet perlu diberikan kepada Umno, memandangkan parti itu memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam PN.

Dalam pada itu Reduzan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata rombakan tidak perlu dibuat di tengah-tengah negara berdepan wabak Covid-19, dan anggota Kabinet sedia ada juga mampu melaksanakan tugas dengan baik.

"Jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan lain, kita harus bermuhasabah kerana kita berjuang untuk rakyat.

"Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik," katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen