malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pejuang cadang Dr M jadi PM sementara tunggu PRU15
Diterbitkan:  Oct 17, 2020 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM
ADS

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini telah mencalonkan pengerusi mereka Dr Mahathir Mohamad untuk perdana menteri kali ketiga sehingga PRU15.

Menurut parti serpihan Bersatu itu, ia adalah untuk menyelamatkan negara sementara menunggu pilihan raya akan datang, kata setiausaha politik Mahathir Abu Bakar Yahya.

"Kami ahli jawatan kuasa penaja parti Pejuang telah pun memutuskan dengan sebulat suara bahawa Tun M sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri yang ada sementara menunggu pilihan raya umum ke-15 jika negara mahu diselamatkan," kata Abu Bakar dalam hantaran Facebook.

Tambahnya, keputusan tersebut turut dipersetujui anak Mahathir, Mukhriz yang juga presiden parti Pejuang.

Untuk rekod, parti Pejuang masih menunggu pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Kenyataan itu hadir ketika politik negara terus dalam keadaan tidak menentu, dengan presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Lima Ahli Parlimen Pejuang termasuk Mahathir telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebelum ini.

Pejuang kini tidak menyertai mana-mana sekutu tetapi ada spekulasi yang belum disahkan bahawa Mahathir mungkin akan bekerjasama dengan bekas pesaingnya, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Mahathir kembali memegang jawatan perdana menteri pada 2018, sebelum mengundurkan diri pada Februari setelah Muhyiddin Yassin mengumum Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan.

Tawarannya untuk dilantik kembali sebagai ketua kerajaan perpaduan gagal, begitu juga usaha untuk meyakinkan PKR dan Anwar untuk menyokongnya untuk sementara waktu sebagai perdana menteri sehingga November.

Mahathir kemudian menyokong presiden Warisan Shafie Apdal sebagai perdana menteri, tetapi rancangan tersebut turut tidak membawa sebarang hasil.

Lihat Komen