BERITA

Cuepacs mohon k'jaan naikkan gaji, bonus penjawat awam

Bernama

17 Oct 2020, 10:42 am

Dikemaskini 5 hari lepas

A
+
A
-

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar gaji dan pemberian bonus secara bulanan kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan.

Presidennya Adnan Mat berkata permohonan tersebut berdasarkan situasi semasa negara dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Jika kita lihat pada ketika ini harga barangan dan perkhidmatan asas yang lain seperti makanan, minuman, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan komunikasi telah menunjukkan sedikit peningkatan.

"Ini bermakna gaji juga perlu ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos keperluan asas ini khususnya untuk seluruh penjawat awam dan mereka yang berada di luar sana," katanya ketika dihubungi Bernama TV, di sini, hari ini. Katanya, CUEPACS juga berharap kerajaan mengumumkan bonus dalam bentuk gaji bulanan kepada penjawat awam dan bukannya bantuan khas kewangan sepertimana pada tahun-tahun sebelumnya sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

''Kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu penjawat awam tidak lagi menerima bonus.

"Sebaliknya bantuan khas kewangan yang diterima tahun-tahun sebelum ini adalah sebanyak RM500 menjelang perayaan dan RM500 menjelang pembukaan sesi persekolahan awal tahun," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen