Seorang suspek utama dalam siasatan kes pengubahan wang haram dilapor melarikan diri daripada ditahan polis selepas dia dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Harian Metro lelaki terbabit - yang dikatakan bergelar Datuk Seri - memanjat pagar di belalang bangunan SPRM dan melarikan diri ketika anggota polis yang mahu menahannya bersedia di bahagian depan.
Memetik sumber portal itu melaporkan lelaki terbabit dikehendaki bagi membantu siasatan mengenai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.
"Polis yang ketika itu berada di hadapan bangunan SPRM hanya sempat menahan seorang lagi suspek yang juga dalang utama sindiket itu bersama dua anggota polis bagi membantu siasatan kes terbabit," katanya.
Memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, Harian Metro melaporkan polis mahu menahan semula tiga individu yang disiasat selepas mahkamah menolak permohonan reman yang dibuat ke atas mereka semalam.
Katanya tiga individu terbabit - termasuk dua anggota polis - ditahan kelmarin selepas mereka dibebaskan SPRM.
Menurut Nik Ros Azhan SPRM menahan tiga individu berkenaan untuk disiasat berhubung kegiatan pengubahan wang haram, manakala polis memerlukan keterangan mereka bagi membantu siasatan kes judi dalam talian.
Bagaimanapun katanya mahkamah menolak permohonan polis untuk menahan reman tiga lelaki berkenaan.
"Permohonan baru reman akan dibuat supaya siasatan dapat dijalankan," katanya semalam.