malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mat rock, rock kapak dan rock manis
ADS

Zaman 'kutu' bermula sekitar akhir 1960-an dan berakhir sejurus bermulanya era rock kapak.

Maka budak-budak rock pada tahun-tahun 1980-an tidak boleh dipanggil sebagai 'kutu'. Mereka adalah mat rock. Demikian menurut ilmuan terkenal Dr Syed (Jumaat) Omar Syed Husin.

Tambahnya, gaya muzik dan penampilan mereka juga adalah berbeza.

Generasi kutu adalah generasi yang mewarisi zaman hippie tahun-tahun 1960-an dan cita rasa muzik mereka berpaksi kepada kumpulan seperti Deep Purple, Led Zepplin, Pink Floyd dan Uriah Heep.

Mat-mat rock pula lebih menumpukan minat kepada kumpulan rock rambut atau disebut sebagat kumpulan glam rock.

Glam rock diterajui kumpulan seperti Bon Jovi dan Motley Crue dari Barat serta Loudness dari Jepun. Mereka sangat popular dalam kalangan peminat muzik di Malaya.

Berbeza dengan peminat dan pemain rock di luar negara, mat rock Malaya masih mengekalkan ‘keimanan’ mereka meskipun menggemari suatu genre muzik yang selalu dikaitkan dengan kegelapan.

Muda-mudi yang meminati muzik berkenaan - dan menjadi kegusaran besar kepada negara pada waktu itu - didapati masih mengamalkan sifat baik seperti menghormati orang yang lebih tua.

Sebahagian besar daripada mereka juga tidak mencuaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Jika di Barat lirik-lirik permujaan terhadap wanita lebih tertumpu kepada keghairan seksual, lirik yang dihasilkan oleh pemuzik rock tempatan pula menjadikan wanita sebagai pelengkap kehidupan dan juga objek yang misterius.

Leka memuja cinta

Peminat dan pengamal musik rock kapak juga lebih meminati lirik yang ringan lagi melekakan. Kerana itu juga perdebatan mengenai dari mana asalnya perkataan rock kapak itu seharusnya dihentikan.

Era tersebut lebih sesuai digelar sebagai zaman rock manis.

Demikian juga pertentangan dengan pihak berwajib hanya berlaku secara satu hala.

Pihak berwajib mengambil tindakan memusuhi mat rock hanya dengan anggapan bahawa mereka membawa pengaruh buruk, manakala mat rock pula hanya menganggap diri mereka sebagai mangsa.

Mereka tidak melakukan apa-apa penentangan yang serius.

Hampir tidak ada lagu yang membawa lirik mengkritik layanan pihak berwajib kepada mat-mat rock. 

Pada masa sama mat rock tetap dengan kelekaan mereka memuja cinta walapun dalam keadaan ditekan kerajaan dari pelbagai arah agar meninggalkan cara hidup yang dianggap songsang.

Peristiwa besar pada zaman rock manis ini tentu sekali adalah apabila dua ikon rock Malaya dipaksa untuk digunting rambutnya dan ia dilakukan secara lintas langsung melalui kaca tivi.

Amat memalukan apabila sejenis musik yang selalu didakwa sebagai pembawa jalan penentangan golongan muda kemudian bersetuju menyerah kalah dan menyerahkan rambut mereka kepada kuasa demi kepentingan periuk nasi.

Hari tersebut sepatutnya disambut sebagai hari kematian rock manis.

Dan yang paling malang sekali tentu saja apabila hari ini - setelah segala pengorbanan untuk memuaskan hati penguasa dilakukan - hampir semua mereka yang terlibat pada era tersebut masih terkial-kial mencari kehidupan.

Satu simposium rock kapak dianjurkan oleh Koloni Karyawan Amanhaya pada 10 dan 11 Okt di Port, Ipoh.

Disamping perbentangan kertas kerja oleh Dr Raja Iskandar Raja Halid, Meor Yusof Aziddin, Wan Ahmad Shaufiq, Mohd Rosli Ibrahim, Shazni Bahai, Muhammad Hafifi Mokhtar, Norman Yusoff, Muhammad Daniyal Abd Kadir, Muhamad Takiyuddin Ismail, dan juga Nasir Jani, satu konsert oleh kumpulan May, BPR, Kris serta persembahan khas oleh Kid dari kumpulan Search juga turut diadakan.

Nur Hanim Khairuddin, Pengurus Besar Port Ipoh, berharap dengan adanya program-program seperti itu, ia akan membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya pendokumentasian.

Nur Hanim juga memaklumkan setelah mengadakan simposium mengenai musik pop yeh yeh dan musik alternatif beberapa tahun lalu, mereka berharap untuk terus mengadakan beberapa lagi siri perbincangan intelektual genre musik seperti hip-hop, dikir dangdut Kelantan serta musik jenaka Pahang yang sedang menuju kepupusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen