malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng: DAP tak akan kerjasama dengan Umno di bawah Zahid, Najib
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 10:22 PM
Dikemaskini: 2:22 PM
ADS

Selepas mendapat berita bahawa "ramai" Ahli Parlimen BN dan Umno menyokong rancangan rampasan kuasa Presiden PKR, Anwar Ibrahim, DAP menegaskan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Berkempen di Kota Kinabalu petang tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menekankan pendirian parti itu tetapi tidak menyentuh secara langsung pengumuman Anwar baru-baru ini.

"Kita lawan Umno dan (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin kerana kita tak boleh terima dasar memecahbelahkan rakyat

"Saya nak tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dgn Umno di bawah pimpinan Zahid (Hamidi) dan di bawah pimpinan Najib (Razak). Sama sekali tidak.

"Tentu ini ditanya, kalau kita lawan dengan Umno ataupun PN di Sabah, macam mana boleh kerjasama dengan Umno di bawah Zahid atau Najib? Itu penting," katanya.

Lim hadir berkempen utnuk calon DAP bagi Luyang, Phoon Jin Zhe dan calon Likas, Tan Lee Fatt menjelang hari pengundian pilihan raya Sabah esok.

Ucapannya disiarkan di Facebook.

DAP adalah parti terbesar dalam Pakatan Harapan dengan 42 Ahli Parlimen.

Rabu lalu, Anwar mendakwa mendapat sokongan majoriti anggota parlimen untuk mengambil alih Putrajaya dengan selesa.

Tidak lama selepas pengumuman Anwar, Zahid mendedahkan "ramai" ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar.

Masih belum diketahui siapa dari Umno dan BN di pihak Anwar.

Amanah dengan 11 Ahli Parlimennya menyokong penuh rancangan itu sementara DAP sebelum ini menawarkan sokongan bersyarat.

"Sejajar dengan keputusan majlis presiden Pakatan Harapan, 42 anggota parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri jika dia memiliki sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan," kata Lim.

Lihat Komen