malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMK saran Muhyiddin lepas jawatan PM macam Mahathir
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM
ADS

Pemuda PKR (AMK) berpendapat Muhyiddin Yassin wajar mencontohi langkah diambil Dr Mahathir Mohamad dengan melepaskan jawatan perdana menteri selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota parlimen.

Naib Ketua AMK Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata Mahathir melepaskan jawatan sebaik saja menyedari dia tidak lagi mendapat kepercayaan dalam kalangan anggota parlimen pada akhir Feb lalu.

Katanya, pendedahan dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan ada ahli parlimen BN kini memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim membuktikan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti sebagai perdana menteri.

"Muhyiddin perlu melepaskan jawatan perdana menteri secara terhormat setelah terbukti dia hilang sokongan majoriti.

"Dia perlu mencontohi mantan perdana menteri yang meletakkan jawatan bagi membolehkan pihak istana melakukan proses berikutnya," kata Syed Badli Shah dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin Anwar yang juga presiden PKR mengumumkan dia kini memperoleh jumlah yang kukuh untuk membentuk kerajaan selepas sejumlah ahli parlimen memberikan sokongan kepadanya.

Kata ahli parlimen Port Dickson itu dia sepatutnya mempersembahkan nama-nama tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong namun pertemuan tersebut perlu ditangguhkan apabila baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara.

Mudahkan proses peralihan

Pengumuman berkenaan disusuli dengan kenyataan Ahmad Zahid yang mengakui tahu ada beberapa ahli parlimen kini berada bersama Anwar dan tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.

Untuk rekod pada akhir Feb lalu Mahathir melepaskan jawatan selepas Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan sejumlah ahli parlimen PKR pula berpaling tadah untuk menyokongnya.

Ia membawa kepada peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri selepas menyedari dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Ia sekali gus mejatuhkan kerajaan PH yang baru 22 bulan sebelum itu diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi pentadbir negara.

Melalui perakuan berkanun yang ada pada Muhyiddin sebagai bukti sokongan yang ada padanya, ahli parlimen itu kemudian mengangkat sumpah menjadi perdana menteri.

Namun pelbagai pihak sangsi terhadap keutuhan kerajaan berkenaan kerana Muhyiddin mendapat sokongan sangat tipis di parlimen dan ia tidak pernah diuji melalui undi tidak percaya yang dibawa ke Dewan Rakyat.

Syed Badli Shah berkata kenyataan Ahmad Zahid itu menunjukkan Muhyiddin kini tidak lagi layak bergelar perdana menteri.

Katanya pengumuman Anwar yang mendakwa dia mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan juga menunjukkan Perikatan Nasional tidak lagi boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

"Justeru Muhyiddin perlu meletakkan jawatan perdana menteri dengan cara yang terhormat bagi memudahkan proses transisi kerajaan," katanya.

Lihat Komen