malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Muhyiddin sendiri tak pernah buktikan ada sokongan di parlimen'
ADS

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sendiri tidak pernah membuktikan sokongan yang diterimanya untuk menjadi perdana menteri pada Mac lalu melalui undi di Dewan Rakyat.

Malah kata Saifuddin usul yang cuba dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, untuk menguji sokongan diterima Muhyiddin juga tidak diberi ruang untuk dibahaskan.

"Muhyiddin sendiri tidak pernah membuktikan dia ada sokongan melalui undi percaya dalam parlimen.

"Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawa oleh Langkawi tidak diizin untuk dibahas dalam parlimen," katanya kepada Malaysiakini.

Petang tadi perdana menteri menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim agar membuktikan dia itu benar-benar memperoleh sokongan majoriti daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Kata Muhyiddin ia perlulah dilakukan mengikut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga ia dibuktikan begitu, kata Muhyiddin, dia masih tetap menjadi perdana menteri yang sah.

"Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan PN (Perikatan Nasional) masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah," katanya.

Tengah hari tadi Anwar mendakwa dia mendapat sokongan yang mencukupi daripada kalangan ahli parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun butiran mengenai sokongan tersebut hanya akan didedahkan selepas ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Saifuddin juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata Anwar akan membuktikan majoriti yang ada padanya apabila diperkenankan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kata Saifuddin semasa Muhyiddin dalam proses mahu menjadi perdana menteri ahli parlimen Pagoh itu juga mengambil langkah sama iaitu mengumpulkan sokongan ahli-ahli parlimen dan mempersembahkannya kepada Agong.

Lihat Komen