BERITA

Ku Nan selesaikan saman cukai RM57 juta LHDN

23 Sep 2020, 5:30 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Bekas menteri wilayah persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menyelesaikan tuntutan saman cukai sebanyak RM57.17 juta terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azimah Omar mencatatkan keputusan persetujuan semasa prosiding di kamarnya hari ini.

Peguam Tengku Adnan, S Saravana Kumar mengesahkan bahawa pihak-pihak berkenaan telah menyelesaikan perkara itu hari ini.

"Pihak-pihak ini telah menyelesaikan perkara ini dengan baik. Syarat-syarat tersebut tidak didedahkan kepada media. Ini adalah penyelesaian.

"Penghakiman persetujuan direkodkan di hadapan hakim (Azimah)," kata Saravana kepada wartawan hari ini.

LHDN diwakili oleh peguam Hazlina Hussain, peguam kanan Norhisham Ahmad dan peguam kanan Al-Hummidallah Idrus.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa LHDN dan Tengku Adnan sedang berusaha menyelesaikan tuntutan cukai tersebut.

Pada 1 Ogos tahun lalu, portal berita perniagaan dalam talian The Edge melaporkan kerajaan telah mengemukakan tuntutan saman cukai terhadap Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan.

Pada mulanya, hari ini ditetapkan bagi mahkamah mendapatkan maklumat terkini mengenai penyelesaian antara Tengku Adnan dan LHDN.

Hari ini juga ditetapkan untuk mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan saman cukai terhadap Tengku Adnan.

Bagaimanapun dengan penyelesaian tuntutan cukai tersebut, permohonan penghakiman terus tidak didengar hari ini.

Pada 24 Julai tahun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan bekas setiausaha agung Umno itu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan itu, Tengku Adnan didakwa memiliki hutang cukai pendapatan kerajaan untuk tahun taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2017, melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

 LHDN juga mendakwa disebabkan Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2012 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengumuman notis taksiran, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif mendakwa Tengku Adnan masih tidak membayar keseluruhan jumlah cukai pendapatan bersama dengan kenaikan 10 peratus itu dalam 60 hari, sehingga menyebabkan kenaikan cukai 5 peratus lagi.

Tuntutan saman berkenaan menyebut bahawa cukai pendapatan yang dihutang oleh Tengku Adnan, termasuk kenaikan tersebut, berjumlah RM57,167,069.35.

Pecahan tersebut adalah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

LHDN meminta daripada Tengku Adnan sejumlah RM57,167,069.35; faedah berjumlah RM57,167,069.35 pada kadar 5 peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi; kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.