malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar gagal batal saman berhubung pengampunan penuh sabitan liwat
Diterbitkan:  Sep 21, 2020 10:32 AM
Dikemaskini: 7:33 AM
ADS

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal membatalkan saman pemula yang difailkan oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan kepada ketua pembangkang itu berkaitan sabitan dan juga hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir juga menolak permohonan sama oleh Lembaga Pengampunan.

Ketika menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan itu, Akhtar berkata plaintif (Mohd Khairul Azam) mempunyai locus standi dalam memulakan saman itu kerana beliau adalah ahli masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam selain ada isu-isu yang boleh dibicarakan yang perlu didengar sepenuhnya.

Beliau juga berkata Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasa eksekutif ketika membenarkan pengampunan kepada Anwar itu.

“Sekiranya Seri Paduka menjalankan kuasa eksekutif, mana mungkin baginda tidak boleh dibicarakan, ini bukan pengampunan diraja, ini pengampunan eksekutif kerana baginda menjalankan peranan sebagai eksekutif. Justeru, jika baginda menjalankan kuasa eksekutif, maka ada prosedur dan undang-undang yang membenarkan anda mempersoalkan kuasa eksekutif,” kata hakim. 

Akhtar berkata kes itu bukan kes mudah yang boleh ditolak begitu sahaja dan saman yang difailkan adalah kaedah yang tepat bagi memulakan prosiding memandangkan ada bukti termasuk keterangan lisan mungkin perlu dikemukakan.

Menyentuh tentang kesaksamaan di sisi undang-undang, hakim berkata sekiranya ada alasan untuk mewajarkan pengampunan itu maka alasan-alasan tersebut perlu dinyatakan.

Beliau berkata ini kerana ada individu yang turut disabitkan atas kesalahan sama akan berasa berlaku ketidakadilan.

“Ini adalah isu sivil yang perlu dibuktikan berdasarkan keseimbangan kemungkinan. Saya menolak kedua-dua permohonan tanpa sebarang perintah mengenai kos,” katanya, dan menetapkan tarikh perbicaraan dari 24 hingga 26 Mac tahun depan dengan pengurusan kes pada 18 Feb tahun depan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk M Reza Hassan mewakili Mohd Khairul Azam manakala Anwar diwakili oleh peguam J. Leela, sementara Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris mewakili Lembaga Pengampunan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memfailkan permohonan pada 13 Mei lalu, antara lain atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman tersebut, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Feb lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Mohd Khairul Azam juga mendakwa susulan keputusan PRU itu, beberapa tindakan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan telah diambil bagi membolehkan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara.

Anwar dihukum penjara hingga lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

- Bernama

Lihat Komen