BERITA

Perpaduan? Kempen Shafie hentam saya - Musa Aman

16 9月 2020, 12:03 中午

Dikemaskini sebulan lepas

A
+
A
-

PRN SABAH | Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman menggesa Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal supaya berhenti menyerangnya ketika kempen kerana beliau tidak bertanding dalam pilihan raya.

"Kita melihat banyak video dan papan iklan memaparkan wajah Shafie dengan cogan kata 'membina negara', 'marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama' dan ‘perpaduan', tetapi ucapan kempennya dipenuhi dengan ‘hentam Musa Aman!’

"Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun adalah memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi perdana menteri," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bekas Adun Sungai Sibuga berkata sebelum ini, beliau telahmemfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah dan Shafie kerana didakwa memfitnahnya.

Musa bertegas menafikan tuduhan beliau telah meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu.

"Saya berasa terpanggil membuat kenyataan ini untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama saya daripada tuduhan yang dilemparkan oleh beliau.

"Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah, termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu.

"Justeru, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat," jelasnya.

Musa juga berkata Shafie sepatutnya mengutamakan agenda "meningkatkan infrastruktur, ekonomi, menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan," katanya lagi.

"Nasihat saya kepada Shafie ialah daripada terlalu memberi fokus kepada saya, dia sepatutnya memberitahu rakyat mengapa Warisan perlu menerajui Sabah dan mengapa dia patut dipilih untuk mengetuai kerajaan.

"Serangan bertali arus terhadap ‘Musa Aman’ tidak akan membantu Shafie dan Warisan mencapai agenda ini," katanya.

Pada 14 September, Shafie mendakwa hutan simpan seluas 700,00 ekar diberikan kepada "kawan dan keluarga" di bawah pentadbiran terdahulu.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.