malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Beri Umno peluang sebab kami dah berubah, kata Bung Moktar
Diterbitkan:  Sep 16, 2020 6:01 PM
Dikemaskini: 10:02 AM
ADS

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin menegaskan Umno dan BN bukan lagi parti yang penduduk negeri itu kenali suatu ketika dulu, sebaliknya mengalami perubahan.

Umno dan BN juga, kata Bung Moktar, kini komited menawarkan pentadbiran lebih telus serta menunaikan janjinya kepada rakyat.

Pada majlis pelancaran manifesto Aku Janji hari ini, dia juga meminta rakyat Sabah untuk membantu menyelamatkan negeri itu yang didakwanya mengalami penderitaan di bawah Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal selama dua tahun.

“Manifesto atau Aku Janji ini telah kita usahakan setelah melihat norma politik baru bukan saja di Semenanjung malah di Sabah.

“Kita perlu memberikan tawaran baru kepada rakyat Sabah sebab rakyat Sabah menderita di bawah pemerintahan Warisan selama lebih dua tahun.

“Hari ini juga saya ingin jelaskan bahawa Umno dan BN Sabah, kami telah berubah. Segala bentuk struktur kami, dari kepimpinan, keterampilan, dari cari kami kendalikan organisasi kami," katanya di Kota Kinabalu.

Turut hadir, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; dan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Menurut anggota parlimen Kinabatangan itu lagi, Umno berubah kerana mahu menawan hati rakyat dan meyakinkan mereka untuk memberikan mandat menjadi kerajaan Sabah.

Tambah Bung Moktar, dia bersama gabungan BN dan PN menyediakan pelan hala tuju ekonomi bagi memacu semula pertumbuhan ekonomi di Sabah agar mampu menjadi pemangkin untuk mengangkat kedudukan Sabah setanding dengan negeri lain.

“Tindakan pantas harus diambil untuk selamatkan (Sabah) daripada bahana dibawa Warisan,” katanya.

Bung Mokhtar turut menyatakan keyakinannya calon dari BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

“Kita juga ingin maklumkan rakyat Sabah, Aku Janji ini insya-Allah kita akan tunaikan 100 peratus.

“Ini kami janji, namanya pun Aku Janji. Kalau janji tak tunai, ia akan jadi sepenggal atau setengah penggal sahaja,” jelasnya.

Merujuk pada isu perbalahan berterusan mengenai kedaulatan Sabah bersama Filipina, Bung Moktar menegaskan keselamatan serta kedaulatan Sabah harus dilindungi dengan apa cara sekalipun.

“Kami akan pertahankan setiap inci Sabah daripada ancaman musuh (dan) juga ikrar dan janji tidak akan berkompromi dengan mana-mana tuntutan ke atas negeri Sabah," katanya.

Lihat Komen