malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP persoal cadangan kuarantin untuk individu pulang dari Sabah
Diterbitkan:  Sep 13, 2020 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM
ADS

PRN SABAH | Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba menghalang pengundi Sabah yang berada Semenanjung untuk pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Ini selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung selepas urusan PRN selesai.

"Saya amat prihatin terhadap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa Kementerian Kesihatan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas menjalankan urusan pilihanraya negeri Sabah.

"Walaupun kenyataan ini kemudian dinafikan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri, tetapi ia telah membangkitkan persoalan sama ada kerajaan PN ingin menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pengundi Sabah untuk membuang undi di Sabah," katanya dalam satu kenyataan dari Sandakan.

Semalam, Adham Baba berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah kuarantin wajib tidak akan dikenakan terhadap warga Sabah yang pulang ke Semenanjung dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai "berita palsu".

Mengulas lanjut, Kok berkata kes-kes Covid-19 di Sabah hanya tertumpu kepada kluster Benteng LD yang merupakan pendatang tanpa izin (Pati) di negeri itu.

"Ini menunjukkan kes wabak Covid-19 yang meningkat di Sabah hanya tertumpu di kluster yang berkaitan pusat tahanan Pati di Tawau dan Lahad Datu sahaja, bukan seluruh Sabah," katanya.

Kok berkata, cadangan kuarantin wajib itu bukan sahaja menjejaskan pengundi Sabah di Semenanjung untuk pulang mengundi tetapi juga menjejaskan kegiatan ekonomi dan pegawai kerajaan yang menjalankan urusan kerajaan di antara Sabah dan Semenanjung. 

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 48 penambahan kes baru Civid-19 di Sabah termasuk 44 kes dari kluster Benteng LD dan tiga kes dari kluster Laut.

Kluster Laut dikesan daripada kalangan pendatang tanpa izin di Kunak, Sabah.

Lihat Komen