BERITA

Walaupun tak dapat kerusi, PAS nafi dipinggirkan

Yasmin Ramlan

11 Sep 2020, 1:00 pm

Dikemaskini sebulan lepas

A
+
A
-

Meskipun tidak diperuntukkan sebarang kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan bahawa parti itu dipinggirkan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya Hashim berkata bahawa parti Islam itu mempunyai kekuatan politiknya sendiri di Semenanjung Malaysia.

“Saya merasakan bahawa PAS dirasai kewujudannya dan kekuatannya di dalam politik terutamanya di Semenanjung.

“Jadi, kalau ada suara-suara (yang mengatakan) untuk mengenepikan PAS, itu saya kira adalah satu yang tidak tepat dan tidak betul,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hashim berkata demikian apabila ditanya adakah PAS berasa dipinggirkan apabila tiada kerusi yang diperuntukkan kepada PAS dalam PRN Sabah.

Semalam dilaporkan bahawa PAS tidak diberikan sebarang kerusi oleh PN mahupun BN, serta tidak diundang dalam majlis pengumuman calonnya walaupun sebelum ini parti itu menyuarakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi serta sedia menggunakan lambang BN.

Pada masa sama, Hashim juga berkata kewujudan PAS perlu diambil kira memandangkan parti itu kini menguasai tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita memerintah tiga (negeri). Ini satu tenaga yang ada dan boleh kata, di negeri-negeri lain juga pengaruh PAS dalam grassroots boleh dikatakan cukup hebat, kukuh di peringkat akar umbi.

“Contohnya tengok macam pilihan raya (kecil) di Slim baru-baru ni. Siapa yang bertungkus-lumus? Yang bersungguh-sungguh?

“Walaupun PAS tak bertanding, tapi PAS telah buktikan kerja yang bersungguh-sungguh. Semua orang akui sehingga hasilnya itu sangat memuaskan,” katanya yang merujuk kepada kemenangan besar yang diperoleh calon BN Mohd Zaidi Aziz dalam PRK Slim pada akhir bulan lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutunya dalam PN di PRN Sabah.

Abdul Hadi berkata ia bertujuan bagi mengelakkan pertembungan dengan calon parti sekutunya, di samping memelihara permuafakatan yang terjalin.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Laporan Berkaitan