malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerusi PRN Sabah: 'Orang tak bagi, kita berlaga' - Kias AJK PAS Pusat
Diterbitkan:  Sep 11, 2020 6:52 PM
Dikemaskini: 11:32 AM
ADS

Selepas tidak diperuntukkan sebarang kerusi oleh Perikatan Nasional (PN) mahupun BN pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah kali ini, beberapa pemimpin PAS terus berkias-kias.

Antaranya, bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad yang berkias menggunakan analogi tongkat Nabi Musa.

“Bila sakit cari tongkat, bila dah sihat buang tongkat. Tapi tongkat bukan sebarang tongkat. Macam tongkat Nabi Musa AS boleh jadi ular bila dicampak. Boleh patuk balik. Hati-hati,” tulis bekas naib presiden PAS itu di laman Twitter.

Dalam ciapan berlainan, Iskandar juga memberikan ingatan kepada rakan-rakannya.

“Kawan yang sebenar tidak akan makan sorang. Apa jenis kawan kalau tulang pun dia nak sapu," soalnya.

Bagaimanapun, Iskandar (gambar, atas) tidak merujuk kepada mana-mana pihak.

Malah, ketika dihubungi Malaysiakini melalui aplikasi Whatsapp bagi mengesahkan ciapannya enggan mengulas lanjut.

“Tidak ada kena mengena dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia,” kata bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu.

PAS tidak diperuntukkan sebarang kerusi oleh PN mahupun BN, serta tidak diundang dalam majlis pengumuman calonnya.

Sebelum ini, parti itu menyuarakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi serta sedia menggunakan lambang BN atau PN.

Secara keseluruhan, BN akan bertanding di sekurang-kurangnya 36 kerusi, manakala PN pula di 28 kerusi.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti itu mengambil pendirian memberi laluan kepada sekutunya dalam PN untuk PRN Sabah, bagi mengelakkan pertembungan dengan calon sesama gabungan.

Selain tidak diperuntukkan sebarang kerusi, PAS juga tidak dijemput dalam majlis pengumuman calon yang dibuat oleh BN dan PN.

Mokhtar: Adik-adik, jangan tebang pokok sebab nak buah

Turut memberikan komen negatif adalah AJK PAS Pusat, Riduan Mohd Nor (gambar judul berita).

Katanya, “Orang berbudi kita berbahasa, orang tak bagi kita berlaga!”.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari juga turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan apa yang berlaku.

Dalam catatan di facebooknya, anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata “Orang berbudi kita berbahasa, orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Malah, ketika dihubungi Malaysiakini untuk mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menyerahkan kepada umum untuk memahami apa yang cuba disampaikanya itu.

“Terpulang kepada pemahaman masing-masing,” tambahnya.

Sementara itu, Anggota Dewan Ulama Pusat PAS Mokhtar Senik (gambar, atas) menyeru ahli parti supaya berpegang teguh kepada amalan taat dan walak yang dihadamkan di dalam jemaah dalam isu pembahagian kerusi. 

"Ingat wahai adik-adik dan anak-anak. Jangan ditebang pokok kerana inginkan buahnya dan jangan dipetik buah sebelum masaknya," katanya.

Bekas ketua ulama PAS Pahang itu juga memberi amaran supaya ahli parti senantiasa waspada.

"Jangan biarkan musuh mengharu-birukan kita.

"Sedikit itu jauh lebih baik dari tiada langsung. PAS adalah parti dakwah bukan sekadar parti politik. Kerana itu PAS tidak kedekut dalam memberi dan tidak tamak dalam meminta-minta," katanya lagi.

Kini nasib PAS dalam PRN Sabah berada di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lihat Komen