malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Keperluan pantau tanda kesihatan diri
ADS

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan banyak berita kematian mengejut dari kalangan golongan muda.

Salah satu kaedah persediaan yang difikirkan patut dilakukan oleh semua individu terutamanya yang sentiasa aktif dalam kerjaya adalah pemantauan berterusan tanda vital (vital signs).

Terdapat empat tanda vital utama yang sentiasa dipantau oleh pengamal perubatan iaitu suhu badan, kadar denyutan jantung, kadar respirasi dan tekanan darah.

Masyarakat umum faham bahawa penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian mengejut di dunia. Antara risiko utama bagi penyakit kardiovaskular adalah tekanan darah yang tinggi.

Penyakit darah tinggi atau hipertensi yang digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ ini dihidapi oleh satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia, menurut National Health Morbidity Survey yang diterbitkan pada 2015.

Tekanan darah yang tinggi juga adalah penyumbang kepada apnea tidur (sleep apnea), iaitu gangguan pada pernafasan secara berulangan semasa tidur.

Individu yang menghidap apnea biasanya akan terhenti pernafasannya selama 20 saat hingga dua minit.

Apabila keperluan oksigen menjadi begitu terdesak, individu tersebut akan terjaga dan menyedut udara dengan cepat tetapi tidur semula kemudiannya.

Keadaan ini akan berulang beberapa kali di sepanjang malam hingga ke waktu pagi. Kesannya, individu ini sering mengantuk pada waktu siangnya.

Punca utama apnea ialah otak berhenti menghantar isyarat kepada difragma bagi mengekalkan pernafasan.

Walaupun terdapat rawatan yang berkesan, pemantauan penyakit hipertensi dalam komuniti di negara ini masih rendah.

Pengawalan penyakit hipertensi jangka panjang melibatkan pemeriksaan tekanan darah oleh pengamal perubatan bertauliah di pusat-pusat perubatan.

Menggunakan kaedah ini ubat-ubatan akan disesuaikan dengan bacaan tekanan darah terkini.

Namun kaedah yang boleh dianggap terbaik ialah dengan pemantauan kendiri secara berterusan di rumah sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pagi dan petang.

Bacaan tekanan darah di rumah

Kaedah ini disokong oleh kajian yang dijalankan pada tahun 2018 oleh para penyelidik dari tiga universiti, iaitu Universiti Oxford, Cambridge dan Birmingham di United Kingdom.

Mereka melaporkan bahawa apabila doktor perubatan menetapkan kadar pengambilan ubat pada pembacaan tekanan darah yang diambil sendiri oleh pesakit di rumah, tekanan darah mereka jauh lebih rendah selepas 12 bulan, berbanding dengan yang hanya direkod di klinik setiap kali ada temu janji.

Kajian ini melibatkan lebih daripada 1,000 pesakit dari 142 institusi perubatan di England. Kaedah ini dinamakan telepemantauan.

Pesakit-pesakit ini dipilih dalam kajian ini adalah daripada mereka yang tidak mengawal penyakit darah tinggi mereka dengan baik.

Keputusan ini juga disokong oleh Profesor Richard McManus dari Pusat Sains Kesihatan Nuffield, Universiti Oxford.

Beliau menegaskan bahawa keputusan yang ketara ini tidak memberikan beban kerja tambahan untuk pengamal perubatan umum (general practitioner atau GP), dan sistem pengawasan diri seumpama ini adalah murah dan mudah untuk digunakan oleh pesakit.

Dalam jangka masa panjang, mereka meramalkan bahawa kawalan tekanan darah yang lebih baik boleh menyebabkan manfaat kesihatan yang berkesan bagi pesakit iaitu pengurangan 20% daripada kemungkinan risiko strok dan 10% pengurangan risiko penyakit jantung koronari.

Berdasarkan data kaji selidik di peringkat global, ada negara yang melaporkan sehingga 70% pemantauan penyakit darah tinggi pesakit dilakukan di rumah.

Namun, di UK angka ini jauh lebih rendah iaitu pada sekitar 30%. National Health Service UK mendapati ini tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana pesakit merasa cemas terhadap pengawasan diri sendiri.

Di Malaysia pula, masih tiada data yang dapat diperoleh daripada pemantauan sendiri di rumah.

Daripada kajian ini, kesan positif terhadap pengurangan tekanan darah yang lebih cepat adalah dengan menggunakan kaedah telepemantauan.

Kita perlu membudayakan kaedah ini dengan menggalakkan pesakit untuk menghantar bacaan tekanan darah mereka kepada pengamal perubatan serta menerima pula maklum balas untuk tindakan seterusnya.

Sistem telepemantauan secara automatik pula akan memaklumkan pesakit jika bacaannya rendah, normal atau tinggi bersama-sama dengan peringatan kepada pesakit agar menghubungi klinik jika purata tekanan darah mereka tinggi.

Sistem telepemantauan

Di sistem telepemantauan yang dibangunkan, pengamal perubatan dapat mengakses ‘papan pemuka’ digital termasuklah paparan grafik tekanan darah dan mempunyai pilihan untuk menghantar mesej kepada pesakit melalui sistem.

Daripada maklumat tekanan darah secara konsisten ini penyelarasan ubat-ubatan dapat dilakukan dengan lebih baik.

Daripada kajian kumpulan penyelidik dari Universiti Oxford, Cambridge dan Birmingham di atas, selepas 12 bulan, tekanan darah sistole lebih rendah dalam kumpulan telepemantauan (136.0 mmHg) berbanding dengan rawatan konvensional (140.4 mmHg).

Dalam perbincangan hasil kajian mereka, tiada bukti kebimbangan yang meningkat bagi pesakit yang memantau diri sendiri.

Mereka berasa lebih komited untuk mengawal berat badan, diet, senaman atau pengambilan alkohol dengan sistem telepemantauan kerana berasa kondisi kesihatan mereka diperhatikan.

Penulis bersama kajian ini, Profesor Jonathan Mant, penyelidik di Jabatan Kesihatan Awam dan Penjagaan Primer Universiti Cambridge mengatakan bahawa individu yang mempunyai tekanan darah tinggi harus ditawarkan pilihan pemantauan diri untuk mengendalikan masalah hipertensi mereka.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia yang menghidap penyakit darah tinggi juga diterapkan kaedah pemantauan diri dari rumah masing-masing.

Mereka yang berasa sangat mencabar untuk bertemu dengan pakar kesihatan disebabkan oleh komitmen kerja akan mendapat manfaat daripada sistem telepemantauan ini.

Sistem pemantauan ini juga perlu disesuaikan dengan aplikasi telefon pintar yang sedia ada dan dimasukkan ke dalam sistem rekod klinikal pesakit di pusat-pusat perubatan.

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah melihat sama ada telepemantauan ini memberi kos efektif demi memastikan kemasukannya sejajar dengan garis panduan klinikal.

Objektif utama pemantauan berterusan ini adalah untuk mengubah amalan perubatan daripada merawat pesakit kepada meramal risiko penyakit dan mengesan penyakit sebelum wujudnya simptom.

Pemantauan tanda-tanda penting yang berterusan dalam unit pembedahan perubatan juga didapati dapat dikaitkan dengan tempoh pengurangan pesakit untuk tinggal di hospital.

Ini sekaligus menyokong hipotesis bahawa pemantauan berterusan membawa kepada pengesanan awal kemerosotan kesihatan pesakit.

Daripada sudut pandangan penulis yang dari bidang kejuruteraan, pemantauan secara berterusan amat berguna dalam menganalisa lebih banyak data pesakit yang sentiasa berubah.

Kematian mengejut

Lebih panjang pemantauan secara berterusan, ramalan keadaan kesihatan pesakit akan lebih tepat.

Walau bagaimanapun, maklumat daripada sistem telepemantauan ini mungkin mempunyai kelemahan seperti mewujudkan asimetri maklumat dalam industri insurans kesihatan.

Sekiranya syarikat insurans mempunyai akses kepada data ini, secara teorinya, mereka akan dapat menggunakan data untuk meningkatkan premium bagi individu berdasarkan kemungkinan mereka mendapat penyakit di kemudian hari.

Kesimpulannya, kematian mengejut yang sering berlaku sekarang menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pemantauan tekanan darah sendiri di rumah merupakan alternatif yang lebih efisien berbanding cara konvensional iaitu dengan hanya berjumpa pengamal perubatan.

Ini juga dapat menjimatkan masa pesakit.

Ia juga penting dalam mengesan dan bertindak balas terhadap kemerosotan kesihatan pesakit bagi mengelakkan daripada kejadian buruk seperti jantung terhenti dan kemasukan yang tidak dirancang ke kemudahan rawatan rapi.

Pendekatan pemantauan kesihatan melalui data berterusan ini sangat berfaedah untuk pesakit yang mana pesakit boleh dimaklumkan kepada suatu penyakit sebelum wujudnya simptom dan kemudian menerima rawatan yang lebih awal.

Selain itu, ia juga dapat meramalkan masa depan pesakit berdasarkan status kesihatan semasa mereka.


IR DR NAZRUL ANUAR NAYAN merupakan pensyarah kanan dalam bidang kejuruteraan bioperubatan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen