malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan beri tanah: Faizal sedia beri kerjasama pada SPRM
Diterbitkan:  Sep 7, 2020 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian tanah seluas 1,200 hektar di negeri itu.

Menurut Faizal, beliau mengambil maklum laporan yang dibuat oleh Naib Presiden Putra, Hamidah Osman kepada SPRM berhubung perkara itu pagi tadi.

"Saya secara peribadi sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas laporan tersebut.

"Ini adalah bertepatan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Perak yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Bernama hari ini melaporkan Putra membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan pemberian tanah berkenaan untuk pembangunan ladang hutan yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Hamidah berkata laporan itu dibuat susulan tular surat bertajuk 'surat karam' di media sosial memaparkan beberapa projek penerokaan hutan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

"Yang dimaklumkan kepada saya ini ada tiga kelulusan melibatkan 1,200 hektar tapi saya difahamkan banyak lagi kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan ladang hutan kepada individu-individu berkepentingan.

"Apa yang kita nampak ia (pembangunan ladang hutan) bertujuan untuk mengambil kayu-kayu balak dan perkara ini akan melibatkan masalah alam sekitar terutama di Hutan Simpan Kledang Saiyong yang diketahui merupakan tempat simpanan tadahan air," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Pejabat SPRM Perak.

Selain itu, beliau berkata, skandal itu turut melibatkan pemberian tanah seluas 301.9 hektar secara rundingan terus kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek ladang rakyat di Ulu Piah, Tambun pada April 2019.

Kataya, pemberian itu menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan syarikat yang ditubuhkan sekitar Ogos 2018 itu langsung tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan projek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah menerima laporan berkenaan dan akan membuat siasatan rapi.

Lihat Komen