malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perebutan jawatan KM antara Musa, Shafie bukan kepentingan awam semasa: Hakim
ADS

Perebutan jawatan Ketua Menteri Sabah antara Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan lagi kepentingan awam semasa kerana beberapa peristiwa yang berlaku selepas itu telah mengatasinya, kata Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Dalam penghakiman menentangnya setebal 29 muka surat, beliau berkata Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 30 Julai tahun ini, oleh itu sebarang kepentingan terdahulu yang timbul susulan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri telah menjadi menjadi sesuatu yang bersifat akademik.

Mohd Zawawi berkata Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya memutuskan isu itu apabila terdapat perubahan keadaan selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan kerana ia akan menjadikan perintah tersebut tidak lagi mempunyai kesan ke atas pihak yang berbalah.

"Kepentingan awam semasa ialah Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 yang akan datang," kata beliau dalam penghakiman yang dikeluarkan di laman sesawang badan kehakiman itu.

Meskipun Mohd Zawawi menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang bersejarah, beliau bagaimanapun berkata ia adalah bersifat akademik dan pihak-pihak berkaitan dalam kes tersebut harus “menguburkannya.”

Beliau berkata adalah tidak begitu jelas bahawa keputusan dalam kes Musa akan mampu menyelesaikan pertikaian pada masa akan datang kerana setiap kes adalah unik dan perlu diputuskan berdasarkan faktanya yang tersendiri.

Katanya tidak ada alasan kukuh untuk menggunakan budi bicara bagi mendengar merit rayuan Musa dan oleh itu, beliau menolak permohonan mendapatkan kebenaran merayu oleh bekas ketua menteri tersebut.

Mohd Zawawi berpendapat Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul ketika membenarkan bantahan awal peguam Mohd Shafie yang bersandarkan kepada surat setiausaha Dewan Undangan Negeri.

"Tidak dapat disangkal bahawa pemohon (Musa) telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri pada saat rayuannya dibawa ke Mahkamah Rayuan," katanya.

Beliau berkata tidak terdapat kepentingan dari segi keadilan bagi Mahkamah Persekutuan memutuskan satu kes yang bersifat akademik kerana keputusannya sama sekali tidak akan mempunyai kesan praktikal ke atas pihak-pihak terbabit.

Minggu lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 2-1, memberikan kebenaran kepada Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Jahid@Noordin Jahim untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam keputusan majoriti bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof, memutuskan bahawa mahkamah harus mendengar rayuan Musa untuk mengelak berlakunya krisis perlembagaan.

Beliau berkata belum ada kata putus berhubung isu sama ada Musa telah disingkirkan secara sah atau tidak daripada jawatannya.

Musa dilantik sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 selepas memperoleh majoriti mudah semasa Pilihan Raya Umum ke-14 namun kehilangan majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya iaitu UMNO dan parti komponen Barisan Nasional iaitu UPKO berpaling tadah menyokong Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh Mohd Shafie.

Musa kemudian memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu dan mendakwa bahawa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pada 7 Nov 2018, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman pemula Musa dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah mengikut perlembagaan.

Mahkamah Tinggi turut menolak saman pemula Jahid bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie.

Mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan tahun lepas namun gagal selepas ditolak atas alasan ia bersifat akademik dan Mohd Shafie mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

- Bernama

Lihat Komen