malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Baki komitmen hutang 1MDB RM41.36 bilion
Diterbitkan:  Sep 4, 2020 9:30 AM
Dikemaskini: 1:34 AM
ADS

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan baki komitmen hutang 1MDB setakat 15 Julai 2020 adalah sebanyak RM41.36 bilion, dengan komitmen pembayaran faedah tahunan kira-kira RM1.7 bilion sehingga 2022.

Jumlah itu dengan andaian kadar tukaran wang asing ialah RM4.20 bagi AS$1.

"Setakat 15 Julai 2020, baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan tiga bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM41.36 bilion.

"Oleh kerana sebahagian besar bon akan matang pada 2022 dan 2023, komitmen tahunan pembayaran faedah hutang 1MDB sehingga 2022 adalah sebanyak kira-kira RM1.7 bilion," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Ia bagi menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong berkenaan perkara itu.

Amiruddin turut bertanya tentang kedudukan pembayaran hutang SRC International, yang dahulunya merupakan subsidiari 1MDB.

Tengku Zafrul

Menurut Tengku Zafrul, jumlah pebayaran hutang syarikat itu setakat 30 Julai lalu adalah RM2.896 bilion manakala jumlah pembayaran pinjaman yang dijadual untuk tempoh Ogos 2020 hingga Mac 2020 adalah RM2.823 bilion.

Berhubung jumlah wang berkaitan 1MDB yang telah dipulangkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang ditanya Liew, Tengku Zafrul berkata setakat 15 Julai lalu sebanyak RM2.6 bilion telah diperolehi daripada jabatan itu.

Jumlah itu sebahagian daripada RM2.84 bilion dana berkaitan 1MDB yang dikembalikan kepada kerajaan dan telah dimasukkan ke dalam akaun amanah kendalian Kementerian Kewangan.

"Dana asset recovery account ini digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB. Ini penting bagi mengelak berlakunya default atas hutang 1MDB yang seterusnya memberi implikasi buruk kepada ekonomi negara kerana hutang berkenaan dijamin kerajaan.

"Penggunaan dana asset recovery account untuk membayar hutang 1MDB juga akan dapat mengurangkan tanggungan beban kewangan kerajaan," katanya.

Pada Julai lalu, kerajaan mencapai persetujuan dengan Goldman Sachs Group Inc - yang mengendalikan penerbitan bon 1MDB - untuk mendapatkan semula AS$3.9 bilion bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan urus niaga dengan 1MDB.

Menurut laporan, AS$2.5 bilion akan diperolehi dalam masa dua bulan manakala baki AS$1.4 bilion setelah aset yang berkait dengan penyelewengan melalui urus niaga itu dikembalikan semula kepada kerajaan.

Menurut Tengku Zafrul lagi, sebahagian daripada hasil pemulihan aset 1MDB akan diperolehi semula setelah proses perundangan dan perbincangan mengenai aset berkaitan 1MDB selesai.

"Proses mendapatkan semula aset-aset ini dijangka mengambil masa panjang kerana kebanyakan aset tersebut berada di luar negara seperti Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

"Sebarang keputusan termasuk cadangan membawa balik ke Malaysia masih dalam perbincangan dengan beberapa buah kerajaan yang terlibat," katanya lagi,


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen