malaysiakini logo
story-image
ADS

Tindakan anggota Parlimen yang melompat parti bukanlah sesuatu yang tidak baik jika ia untuk menyelamatkan kerajaan dan melakukan perubahan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi mengibaratkan tindakan itu seperti melompat daripada bahaya untuk menyelamatkan diri atau sesuatu perkara.

“Ada orang kata lompat parti ada yang baik dan ada yang tak baik. Lompat (ketika) menghadapi bahaya untuk selamat, ia lompat yang baik. Lompat terjun kepada bahaya, itu tidak baik.

“Lompat (yang baik) untuk menyelamatkan kerajaan, untuk membentuk satu perubahan,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Abdul Hadi jelas merujuk kepada pembentukan pentadbiran PN yang ditubuhkan susulan langkah Bersatu dan sejumlah anggota Parlimen dalam PKR untuk keluar PH pada akhir Februari lalu.

Mengulas lanjut mengenai PN, Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menyifatkan kerajaan sekarang lebih baik berbanding ketika pentadbiran PH.

Perbezaan itu, katanya dapat dilihat menerusi barisan menteri kedua-dua pentabdiran.

“Banyak perbezaan yang boleh ditunjukkan. Kalau dahulu ketika PH, menteri-menterinya asyik sebut (bangkitkan tentang) kerajaan dahulu dan apabila kita ambil alih (kerajaan), perbezaannya amat positif.

“Kewujudan PN sendiri adalah pencapaian terbaik di mana kita berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dukungan rakyat.

“Malaysia diterajui kerajaan PN juga antara negara yang berjaya mengawal dan menangani Covid-19 dan diiktiraf dunia,” katanya lagi.

Lihat Komen