malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan tarik balik RUU 'PM dua penggal'
Diterbitkan:  Aug 26, 2020 1:13 PM
Dikemaskini: 5:51 AM
ADS

PARLIMEN l Kerajaan Perikatan Nasional telah menarik balik rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, supaya jawatan perdana menteri ditetapkan tidak melebihi dua penggal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan menarik balik RUU itu mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan pagi tadi.

"Saya bangun untuk memohon mencadangkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019," katanya.

Tidak jelas mengapa RUU tersebut, berlabel DR 42/2019, ditarik balik. Malaysiakini sedang menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan ulasan lanjut.

RUU itu dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada Disember lalu.

Melalui pindaan membabitkan Fasal 2 (a) Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri jika dia pernah memegang jawatan perdana menteri bagi tempoh dua penggal parlimen.

Pindaan itu adalah antara janji utama di bawah manifesto PH.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah berkata, perkara yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua menteri besar dan ketua menteri.

RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada 3 Dis tahun lalu, dan berada pada kedudukan keenam dalam aturan mesyuarat untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini.

Lihat Komen