malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersatu bagai itik menunggu masa dibedil pemburu, kata Kadir
Diterbitkan:  Aug 18, 2020 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM
ADS

Tokoh wartawan dan bekas pemimpin Bersatu, A Kadir Jasin, menyifatkan kedudukan parti berkenaan sebagai sitting duck yang menunggu masa untuk "dibedil oleh pemburu" selepas kedudukannya dilihat tidak kukuh.

Membuat hantaran di media sosial petang ini, A Kadir berkata, ia berlaku selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengumumkan persetujuannya menyertai Muafakat Nasional (MN) yang kini dianggotai Umno dan PAS.

Katanya ia adalah kesan daripada langkah terdesak daripada Muhyiddin.

“Dalam ungkapan Inggeris, kedudukan Bersatu sekarang adalah seperti sitting duck yang menunggu untuk dibedil oleh pemburu; atau untuk selamatkan diri, Muhyiddin akan bubarkan Bersatu dan merangkak balik kepada Umno,” katanya.

Bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu berkata dengan penyertaan Bersatu dalam MN itu, ia membuka laluan mudah buat Umno "menghabiskan" parti berkenaan.

Selepas itu, katanya, Umno boleh menumpukan masa dan tenaga mereka untuk menangani PAS, atau setidak-tidaknya "meng-Umno-kan" parti tersebut.

Bersatu ialah parti yang ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan Umno yang tidak berpuas hati dengan skandal 1MDB membabitkan presiden mereka ketika itu, Najib Razak.

Muhyiddin merupakan timbalan presiden ketika itu. Bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Bersatu kemudian ditubuhkan dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bagai melukut tepi gantang

Gabungan itu mendapat mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan menggantikan BN. Bagaimanapun Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan PH dan bekerjasama dengan parti yang pernah dimusuhinya dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum itu.

Bagaimanapun banyak pihak melihat kedudukan Bersatu tidak kukuh dalam kerajaan PN ketika sejumlah pemimpin kanan Umno membuat kenyataan demi kenyataan yang menjurus kepada mengkritik parti serpihan terbabit.

Ketika Najib sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan di mahkamah, sesetengah pihak pula meramalkan Muhyiddin akhirnya akan kembali ke pangkuan Umno.

Pada 15 Ogos lalu Muhyiddin mengumumkan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memberi persetujuan untuk mereka menyertai MN dan menganggapnya sebagai pilihan terbaik buat parti berkenaan. 

A Kadir Jasin

Kata A Kadir, ketika Bersatu didakwa menerajui kerajaan PN, parti itu dilayan seumpama melukut di tepi gantang dan dibuli oleh Um no serta PAS.

Kata bekas penasihat media kepada perdana menteri itu lagi, sejarah menunjukkan Umno pernah "menyekat, menelan atau membunuh” parti-parti serpihannya sebelum ini Parti Negara pada 1954 dan Semangat 46 pada 1996.

“Umno berjaya menamatkan riwayat Parti Negara tetapi belum berjaya membunuh PAS.

“Umno akan bunuh PAS sama seperti ia membunuh Parti Negara. Ia sudah pun menelan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1996,” katanya.

A Kadir turut memberitahu Umno merupakan parti yang tidak boleh hidup dalam kekalahan serta terlalu biasa dengan kuasa dan kekayaan.

"Pemimpin Umno tahu lagi lama mereka dalam rimba politik, semakin kurang sokongan kepada parti mereka.

"Maka dengan bantuan PAS, mereka mulakan kempen meracuni fikiran orang Melayu-Islam kononnya PH dikuasai oleh DAP.

“Di pihak Bersatu pula, setelah kalah dua pilihan raya kecil iaitu DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai, ia ketakutan.

“Ramai ahli MPT percaya parti itu akan ditolak oleh orang Melayu kalau terus bersama DAP dalam PH.

“Itulah mantera Muhyiddin dalam mesyuarat tergempar MPT pada 23 Februari lalu,” katanya. 

Lihat Komen