malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Estima dan Vellfire exco Terengganu disimbah cat merah
ADS

Dua kereta Toyota milik exco Terengganu, Satiful Bahari Mamat, mengalami kerosakan selepas disimbah cat merah dalam kejadian berlaku pada awal pagi Ahad lalu.

Difahamkan kenderaan Toyota Estima dan Toyota Vellfire Satiful Bahari itu diparkir di kawasan rumahnya di Kampung Pinang Merah, Dungun, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian.

Katanya kejadian simbahan cat itu disedari anak exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu itu kira-kira jam 1 pagi ketika dia mahu mengambil barang dalam kereta.

"Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Baharudin juga berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian.

Untuk rekod Satiful Bahari merupakan bekas pesuruhjaya PAS Terengganu dan sebelum ini pernah didakwa menerima wang lebih RM1 juta daripada Umno oleh Anggota Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Selain Adun Paka itu, dua pemimpin lain dalam PAS yang didakwa terbabit oleh Mahfuz ialah Muhyidin Abdul Rashid dan M Shukrimun Shamsudin.

Bagaimanapun ketiga-tiba mereka menafikan dakwaan Mahfuz.

Baharudin berkata simbahan cat ke atas kenderaan turut menimpa anak bekas setiausaha PAS Kawasan Dungun pada hari yang sama.

"Selain itu simbahan cat juga dikesan pada bahagian dinding rumahnya.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya.

Lihat Komen