malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembela kemuka 20 tuntutan, tolak inkues kedua Adib
ADS

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) berhasrat mengemukakan 20 tuntutan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk menolak inkues kali kedua berhubung kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, berkata pihaknya sedang menunggu tarikh daripada pejabat perdana menteri untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, 20 tuntutan itu termasuk mendesak kerajaan membuka semula siasatan dan pendakwaan terhadap kes berprofil tinggi, menggubal akta khusus untuk tanah rizab Melayu, menyokong kempen beli barangan muslim dan mempertahankan Islam serta Raja-raja Melayu.

"Kita juga meminta supaya kerajaan Melayu Islam ini menaik taraf mahkamah syariah seperti mana mahkamah sivil.

"Isu babitkan kes-kes mahkamah berprofil tinggi, kita minta kerajaan meneruskan kembali dan bertindak seadil-adilnya.

"Kita juga menolak inkues kali kedua terhadap kes kematian Muhammad Adib," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, memorandum tersebut akan diserahkan kepada perdana menteri dalam tempoh terdekat ini.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat berkata pihak polis mengesyorkan inkues kali kedua diadakan bagi mencari punca kematian Muhammad Adib.

Katanya, berdasarkan kertas siasatan pihak polis mengenai kematian anggota bomba itu yang dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara, 12 suspek telah dituduh di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan menyerang jentera bomba.

Menurut menteri dalam negeri itu, keputusan itu dibuat berdasarkan pengumpulan bukti yang ada bagi dikemukakan semula kepada pihak pendakwaan.

Sementara itu, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar yang turut sama dalam sidang media itu berkata inkues kali kedua berhubung kematian Muhammad Adib bertentangan dengan prinsip perundangan negara.

"Dari sudut prosedur inkues ini telah dilakukan dan penerimaan dapatannya jelas.

"Jadi, kenyataan yang inginkan inkues kali kedua diadakan adalah tersasar daripada prinsip undang-undang.

"Dalam prosedur undang-undang, yang mana tak puas hati boleh buat semakan undang-undang dan bukannya inkues kali kedua," jelasnya.

Lihat Komen