malaysiakini logo
story-image
ADS

Isu pengangguran berkenaan mahasiswa universiti sering kita dengar. Banyak kajian dilakukan mengenai perkara ini.

Media massa juga turut memuatkan angka pengangguran dan sebab mengapa mereka tidak mendapat pekerjaan sejurus tamat universiti.

Didapati angka pengangguran graduan universiti semakin meningkat saban tahun.

Banyak sebab yang diberikan oleh majikan, antaranya ialah kekurangan kemahiran insaniah yang amat diperlukan oleh majikan. Kemahiran komunikasi terutamanya Bahasa Inggeris dan kemahiran perorangan serta sikap seringkali disebut sebagai sebab mengapa mereka tidak diambil bekerja.

Pendek kata, graduan dituduh kurang kemahiran dan mempunyai sikap negatif seperti cerewet memilih perkerjaan, terutama dari segi jumlah gaji.

Buat masa ini, tidak ada peningkatan pada jumlah universiti tempatan. Namun begitu, jumlah universiti swasta semakin bertambah.

Pada masa ini, jumlah keseluruhan universiti di Malaysia lebih daripada seratus buah, yang termasuk universiti tempatan, universiti swasta, kolej universiti dan universiti asing. Ini merupakan satu angka yang besar.

Perkara ini juga turut menyumbang kepada faktor mengapa terdapat lambakan graduan dalam pasaran pekerjaan. Kerajaan Malaysia sangat prihatin mengenai isu pengangguran graduan ini.

Semua pihak telah dipersalahkan dan bukan sahaja universiti yang mengeluarkan graduan yang dipersalahkan.

Sekolah serta ibu bapa yang mendidik pelajar juga turut dipersalahkan. Isunya ialah majikan telah memberikan alasan peningkatan pengangguran adalah disebabkan graduan kekurangan kemahiran insaniah.

Di universiti, kemahiran insaniah tidak diajar secara langsung kepada pelajar tetapi diterapkan secara tidak langsung dalam kursus-kursus sama ada teras atau elektif. Dasar mengenai kemahiran insaniah di universiti asyik bertukar-tukar.

Pada satu masa, kemahiran insaniah perlu dinilai secara terperinci bagi setiap subjek dan pada masa lain, ia hanya dinilai sebagai tercapai atau tidak sahaja.

Kajian kuantitatif

Terdapat kajian kuantitatif dijalankan ke atas pelajar universiti daripada enam universiti awam dan universiti swasta terpilih.

Kajian ini mendapati, pada tanggapan pelajar universiti, sikap yang diperlukan oleh majikan ialah ketanggungjawaban, positif, disiplin, fikiran terbuka, telus, kreatif dan inovatif, kepimpinan dan kebolehsuaian.

Personaliti penting pada pendapat mereka adalah kepercayaan, suka membantu, bertimbang rasa, sifat ingin tahu dan pemikiran mendalam.

Majikan juga memerlukan kemahiran kebolehpasaran seperti pengurusan masa, kerja pasukan, komunikasi, penyelesaian masalah, pembuatan keputusan dan kemahiran organisasi.

Namun begitu, kajian lain telah mendapati terdapat perbezaan antara tanggapan mahasiswa dengan graduan. Pendek kata, pelajar dan graduan mempunyai persepsi yang berbeza tentang sikap, personaliti dan kemahiran kebolehpasaran yang dikehendaki oleh majikan.

Begitu juga dengan industri atau sektor majikan yang berbeza memerlukan pengetahuan dan kemahiran kebolehpasaran yang berbeza bagi memastikan graduan mampu dan berjaya untuk melaksanakan tugasan dalam pekerjaan mereka dengan baik.

Kajian perbezaan persepsi dari segi jantina pula mendapati terdapat perbezaan dari segi kemahiran organisasi, penyelesaian masalah, kerja pasukan dan pengurusan masa.

Perbezaan persepsi mengikut jenis universiti (awam/swasta) pula mendapati, terdapat perbezaan signifikan dari segi kemahiran penyelesaian masalah.

Kajian tersebut juga mendapati pelajar universiti awam mempunyai persepsi yang lebih tinggi terhadap kemahiran kebolehpasaran mereka berbanding dengan universiti swasta.

Dapatan ini disokong dengan kajian lepas lain pada tahun 2015. Daripada kajian kualitatif yang dilakukan ke atas lapan majikan terpilih yang mana terdiri daripada syarikat besar dan sederhana, didapati majikan amat memerlukan kemahiran sosial seperti kemahiran berkomunikasi, kecerdasan emosi, kesanggupan dan kepantasan untuk belajar.

Mereka berpendapat program latihan praktikal dan pembelajaran berterusan dapat menyelesaikan masalah kekurangan kemahiran insaniah ini.

Ini menunjukkan universiti perlu memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kemahiran insaniah dalam graduan.

Pendek kata, mereka perlu memperkasakan peranan mereka sebagai institusi pembelajaran tinggi dalam negara bagi memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa dan graduan. Kemahiran insaniah yang baik perlu dijadikan nilai pegangan dan corak hidup para mahasiswa dan graduan.

Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa sebahagian daripada majikan mengutamakan graduan luar negara daripada dalam negara manakala sebahagian lagi tidak menjadikan jenis universiti sebagai faktor pemilihan pekerja graduan.

Majikan yang memilih graduan luar negara merasakan mereka lebih ekstrovert, mempunyai kemahiran insaniah yang lebih tinggi dan mendapat pendedahan yang lebih luas. Yang lain pula tidak merasakan jenis universiti sebagai pengaruh penting dalam pemilihan graduan sebagai pekerja.

Justeru, ini menunjukkan bahawa universiti tempatan terutamanya universiti awam mampu untuk menjana dan mengeluarkan graduan dan bakal pekerja yang berkualiti tinggi. Pendek kata, pada pandangan majikan kajian ini, modal insan negara ini adalah setanding dengan lepasan universiti luar negara.


PROF MADYA DR ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI merupakan pensyarah dan pernyelidik di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.  

Lihat Komen