malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Duit SRC dibelanja untuk anak yatim dan Umno, dakwa Najib
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 1:42 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Kira-kira seminggu selepas didapati bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC), Najib Razak tampil menegaskan bahawa RM42 juta wang itu digunakan bukanlah untuk tujuan peribadi.

Bekas perdana menteri itu - yang berikrar untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini - menyifatkan ia sebagai “amat tidak adil”.

Dalam video tujuh minit yang dimuat naik lewat malam tadi, Najib mendakwa duit SRC digunakan untuk program kebajikan Umno dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk anak-anak yatim, bukan untuk dirinya sendiri.

“Saya diarahkan untuk membayar denda RM210 juta ke atas RM42 juta yang diterima di mana 99 peratus dibelanjakan untuk tujuan CSR, iaitu RM5 (denda) untuk setiap RM1 yang dibelanja. Dan hakikatnya ianya bukan perbelanjaan peribadi.

“Mahkamah sendiri telah mengesahkan 99 peratus bukan untuk perbelanjaan peribadi.

“Misalnya saksi yang terlibat dalam kes SRC (memberitahu) sumbangan saya sebanyak RM400,000 kepada Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan untuk kegunaan harian menjaga anak-anak yatim dan kos persekolahan mereka. Dan sebab sumbangan itu saya dihukum denda RM2 juta [...]

“Saya dihukum kerana membuat kebajikan, menjaga anak yatim dan persekolahan mereka,” dakwa Najib.

Perbelanjaan percutian peribadi

Najib turut meluahkan rasa kesal apabila didenda kerana memberikan wang kepada Umno.

“Saya juga dikenakan denda RM3.25 juta kerana pernah menghulurkan sumbangan RM650,000 kepada Umno Johor, Pulau Pinang dan Kedah bagi melaksanakan program kebajikan mereka.

“Banyak lagi contoh perbelanjaaan seperti ini yang bukannya untuk kepentingan peribadi ataupun untuk keselesaan hidup saya, tetapi untuk tujuan rakyat dan untuk parti,” katanya lagi.

Berdasarkan keterangan saksi, sebanyak RM300,000 disalurkan dari akaun Najib ke Umno Johor Bahru, RM1 juta ke Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan RM50,000 kepada ketua Umno Padang Serai Asmade Abu Talib pada 2015.

Gambar fail

Semasa perbicaraan, Najib memberitahu mahkamah bahawa caj RM543,530 ke atas kad kreditnya adalah perbelanjaan di sebuah butik mewah di AS, yang dibayar menggunakan dana SRC di dalam akaun banknya.

Dia turut memberi keterangan bahawa caj berjumlah RM127, 017.46 pada kad kreditnya adalah untuk penginapan di sebuah hotel mewah di Bangkok yang menjadi sebahagian daripada “percutian peribadi” pada 2015.

Kata Najib dia bercuti di Thailand selepas memendekkan percutian asal di AS kerana masalah banjir besar yang melanda Malaysia ketika itu.

"Perbelanjaan RM120,000 di Hotel Shangri-La di Bangkok termasuk penginapan untuk saya serta kakitangan sokongan yang menemami saya dalam perjalanan itu, serta perbelanjaan dari poket sendiri," katanya.

Najib kemudian mempertikai kenyataan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang tidak percaya wujudnya derma daripada keluarga diraja Arab Saudi kepadanya, sedangkan - dakwa ahli parlimen Pekan itu - kenyataan-kenyataan saksi menyatakan sebaliknya.

Semasa perbicaraan, pasukan pembelaan Najib berulang kali berhujah bahawa Najib percaya bahawa wang RM42 juta yang diterima dalam akaun banknya antara Dis 2014 hingga Feb 2015 merupakan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pasukan pendakwaan pula berhujah bahawa wang itu berasal daripada pinjaman dana milik Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Tak pernah minta atau tawar rasuah

Dalam penghujahannya, Mohd Nazlan berkata tiada bukti Najib dimaklumkan secara peribadi tentang derma berkenaan, dan dia pun tidak cuba untuk mengesahkan sumber dana yang diterima pada ketika itu.

Hakim itu turut berpandangan wang berkenaan tidak mungkin suatu derma memandangkan ia “muncul tiba-tiba” dalam akaun bank peribadi Najib, betul-betul ketika keadaan memerlukan, selalunya apabila baki akaunnya menjadi sangat sedikit.

Dia berpendapat bahawa pembelaan Najib bahawa dia percaya wang itu adalah derma, tidak lebih sekadar “rekaan yang tak masuk akal” (nothing but an implausible concoction).

Dalam video berkenaan, bekas presiden Umno itu berikrar untuk mencabar keputusan yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya di Mahkamah Rayuan selepas ini.

“Berdasarkan sokongan dan dukungan padu kepada saya serta berdiri teguh atas kebenaran, saya berikrar akan terus berjuang menentang keputusan yang amat tidak adil ini. Saya akan memanfaat sepenuhnya proses rayuan ini dengan penuh keazaman dan saya akan terus berlawan dan berjuang demi rakyat

“Yang pokoknya, saya tak pernah minta mahu pun ditawar RM42 juta sebagai rasuah. Pihak pendakwa raya tak mengemukakan sekelumit bukti pun untuk mengesahkan perkara ini berlaku,” katanya.

Peguam Najib mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi pada 30 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan, dan memerintahkannya membayar ikat jamin tambahan RM1 juta dengan dua penjamin. 

Untuk rekod semasa menjadi perdana menteri, Najib juga bertindak sebagai menteri kewangan dan penasihat emeritus untuk SRC sekali gus merupakan pengerusi ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

Pada asalnya, SRC merupakan anak syarikat 1MDB tetapi kemudian dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

[Baca berita asal]


Lihat Komen